'Tuanku Muhriz kekal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan' - DKU | The Reporter

‘Tuanku Muhriz kekal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan’ – DKU

Tuanku Muhriz Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Tuanku Muhriz Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Gambar: Bernama

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, selain menyatakan tiada kekosongan jawatan atau pengganti selagi kedudukan itu masih dipegang secara sah.

Dalam kenyataan terbaharu, DKU berkata, dokumen mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz serta mengiktiraf Yang di-Pertuan Besar baharu, tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.

Menurut DKU, perkara berkaitan adat Melayu termasuk pemilihan, pelantikan, perletakan dan pemecatan jawatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang berada dalam bidang kuasanya berdasarkan Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959. DKU turut menyatakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan proklamasi atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

DKU pada masa sama mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 15 September yang menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar, selain menyatakan kesahan dan kesan proklamasi perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.

Baca juga:

Dewan turut menegaskan semula pendiriannya bahawa Proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah cacat dan terbatal sejak awal dengan mendakwa tiada siasatan menurut Perkara X(1) UUTKNS 1959 dilaksanakan, selain tiga daripada empat individu yang menandatanganinya tidak memegang jawatan Undang pada tarikh berkenaan. Pendirian DKU mengenai proklamasi itu turut dilaporkan sebelum ini.

Menurut DKU, sebarang proklamasi yang mendakwa memilih Yang di-Pertuan Besar baharu berdasarkan asas sama juga tidak sah dan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang. Dewan menegaskan prerogatif Undang Yang Empat hanya boleh dilaksanakan oleh individu yang memegang jawatan Undang secara sah serta mengikut syarat dan prosedur ditetapkan UUTKNS 1959.

DKU turut menyatakan pegawai kerajaan negeri tidak dikehendaki bertindak berdasarkan dokumen bertarikh 5 September atau 16 September, selain mengambil maklum pertikaian berkenaan kini berada dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban dan terdapat perintah mahkamah yang masih berkuat kuasa.

Sehubungan itu, Dewan menyeru semua pihak menghormati proses mahkamah dan tidak mengambil sebarang langkah yang boleh memintas atau mengganggu prosiding berkenaan, selain menjunjung UUTKNS 1959 serta menyelesaikan pertikaian menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.

Related Posts