Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama Madu atau Racun yang mencetuskan keresahan dan kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya kesal dengan tindakan menyerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan dalam karya berkenaan.
Menurutnya, penerapan unsur yang bercanggah dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran perlu dibendung bagi memastikan pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, terus terpelihara.
“Prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemaparan gaya hidup yang bertentangan dengan nilai tersebut tidak seharusnya dinormalisasikan menerusi kandungan media yang boleh mempengaruhi masyarakat.
Baca juga:
- AMANAH desak MB Negeri Sembilan mohon pembubaran DUN
- ‘Pembesar sepatutnya jadi pendamai, bukan batu api’ – Akmal Saleh
- Jabatan Penjara nafi dakwaan Yasin Sulaiman
Sehubungan itu, katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan drama berkenaan serta mengambil tindakan susulan berdasarkan garis panduan dan peruntukan undang-undang sedia ada.
“JAKIM akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan dan mengambil tindakan susulan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015),” katanya.
Dr Zulkifli turut menyeru penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran supaya lebih peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi sebagai rujukan dalam menghasilkan karya.
Katanya, industri seni dan platform media sewajarnya dimanfaatkan sebagai medium untuk menyemai nilai kebaikan dan membina sahsiah masyarakat, bukannya mencetuskan polemik yang boleh menjejaskan keharmonian norma masyarakat.
Beliau turut mengajak umat Islam bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan.








