Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) Prof Dr Rozaimi Ramle meluahkan rasa sedih susulan penularan sekeping gambar dipercayai memaparkan kulit lembu korban dibuang ke dalam tong sampah, dipercayai berlaku selepas pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha.
Menerusi satu kenyataan di media sosial, beliau berkata sekiranya dakwaan itu benar, keadaan tersebut amat menyedihkan dan mencerminkan sikap tidak mengambil berat soal kebersihan dalam masyarakat.
“Khabarnya ini adalah kulit haiwan korban. Jika benar maka ia amat menyedihkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Islam amat menitikberatkan aspek kebersihan, bukan sekadar dalam urusan ibadah seperti wuduk dan mandi wajib semata-mata.
“Adakalanya ustaz yang mengajar fiqh ini perlu tekankan lebih sikit bahawa Islam mementingkan kebersihan bukan dalam bab wuduk dan mandi junub sahaja,” katanya lagi.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
Dalam masa sama, beliau turut menyindir sikap segelintir pihak yang dilihat masih mengabaikan kebersihan walaupun ibadah korban telah selesai dilaksanakan.
“Korban haiwan sudah selesai. Perangai pengotor bila mahu dikorbankan?” ujarnya.
Gambar yang tular itu bagaimanapun tidak menyatakan lokasi kejadian dan setakat ini belum ada pengesahan rasmi mengenai tempat sebenar kulit haiwan berkenaan dibuang.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya bersetuju bahawa pengurusan sisa korban perlu dilakukan dengan lebih sistematik dan berhemah bagi menjaga kebersihan serta imej Islam.








