Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berhubung hubungan serta kerjasama antara kedua-dua parti dalam gabungan Perikatan Nasional.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, setiap perkara yang dibangkitkan wajar diteliti secara menyeluruh dalam semangat setiakawan, persefahaman dan tanggungjawab bersama demi memperkukuhkan perpaduan dalam gabungan tersebut.
Sehubungan itu, BERSATU memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti setiap isu yang dibangkitkan sebelum membincangkannya secara lebih mendalam dalam mesyuarat Biro Politik serta Majlis Pimpinan Tertinggi parti dalam masa terdekat.
“BERSATU akan meneliti setiap perkara yang dibangkitkan dan membincangkannya secara mendalam dalam mesyuarat Biro Politik serta Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dalam masa terdekat,” jelas kenyataan itu.
Baca juga:
- BERSATU pandang serius kenyataan Presiden PAS
- ‘PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU’ – Hadi Awang
- ‘Siapa kata pejuang sumud tiada taring?’ – Syed Saddiq
Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS akan menilai semula kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia susulan beberapa tindakan parti itu yang didakwa melanggar semangat setia kawan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Abdul Hadi berkata, PAS memandang serius beberapa tindakan BERSATU yang disifatkan kurang menyenangkan, termasuk keputusan menarik semula akuan bersumpah (SD) melibatkan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.










