'PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU' - Hadi Awang | The Reporter

‘PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU’ – Hadi Awang

Presiden PAS Abdul Hadi Awang bercakap pada sidang media berkaitan isu penarikan semula SD oleh ADUN BERSATU di Negeri Sembilan dan hubungan dalam Perikatan Nasional.
Gambar: Facebook Abdul Hadi Awang

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS akan menilai semula kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia susulan beberapa tindakan parti itu yang didakwa melanggar semangat setia kawan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Abdul Hadi berkata, PAS memandang serius beberapa tindakan BERSATU yang disifatkan kurang menyenangkan, termasuk keputusan menarik semula akuan bersumpah (SD) melibatkan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

“Tiba-tiba BERSATU menarik balik SD itu. Kita tidak boleh menerima alasan diberikan. Kalau UMNO yang ada 14 kerusi tidak tarik sokongan, kenapa dua ADUN BERSATU bertindak sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU di Negeri Sembilan yang mengambil pendirian berkecuali dalam isu sokongan kepada Menteri Besar menjejaskan semangat setia kawan antara parti komponen PN.

Selain isu di Negeri Sembilan, Abdul Hadi turut membangkitkan tindakan BERSATU memecat beberapa EXCO kerajaan negeri di Kedah serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan, Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

Katanya, pemecatan atau pertukaran mana-mana individu tidak seharusnya dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu berdasarkan prestasi dan kepentingan parti.

“Kita melihat prestasi seseorang itu dalam melaksanakan tugas. Kalau prestasi tidak baik, mungkin perlu diambil tindakan. Tetapi bukan sewenang-wenangnya kerana faktor lain,” katanya.

Mengulas dakwaan PAS sudah beberapa kali “dipermainkan” oleh BERSATU termasuk dalam kemelut politik di Perlis, beliau berkata PAS selama ini memilih untuk bersabar.

“Kita sabar sebab nak jaga perpaduan menghadapi PRU, tetapi sabar ada batasnya,” katanya.

Beliau turut mendedahkan pengalaman PAS ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK), apabila BERSATU didakwa meminta banyak kerusi untuk ditandingi tetapi gagal menyediakan jentera mencukupi.

“Mereka ada calon, tetapi petugas terlalu sedikit. Akhirnya jentera PAS yang turun bekerja di lapangan. Semua perkara ini kita ambil kira,” katanya.

Baca juga:

Menurut Abdul Hadi, PAS sudah menghantar surat kepada BERSATU pada 9 Mei lalu bagi mengadakan sesi perbincangan berhubung isu berkenaan dan perkara itu juga sudah dibangkitkan dalam mesyuarat PN.

Katanya, Majlis Syura Ulama, Lajnah Pilihan Raya serta bahagian penyelidikan PAS kini sedang mengkaji satu persatu tindakan BERSATU sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

“Kalau tindakan BERSATU boleh menjejaskan PN pada PRU akan datang, kita akan bertindak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan PAS masih komited bersama PN dan yakin gabungan itu tidak akan terjejas menjelang pilihan raya umum akan datang.

“PAS sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya bila-bila masa sahaja. Kita akan terus bertanding atas nama Perikatan Nasional,” katanya.

Related Posts