Aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang terus berani membawa suara solidariti dan bantuan ke Gaza dipuji kerana keberanian mereka yang tidak gentar berdepan tekanan, penghinaan dan risiko keselamatan demi memperjuangkan nilai kemanusiaan sejagat.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan bahawa perjuangan sumud yang dibawa oleh para aktivis kemanusiaan bukanlah sesuatu yang lemah, sebaliknya mempunyai “taring” dalam membuka mata dunia terhadap isu kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza.
“Siapa kata pejuang sumud tiada “taring”.
“Mereka telah menyedarkan dunia tentang kekejaman yang sedang berlaku,” katanya.
Menurut beliau, tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir yang didakwa merendahkan maruah aktivis kemanusiaan itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, berdasarkan rakaman video yang menunjukkan aktivis diikat, dipaksa tunduk dan diperlakukan secara menghina.
Syed Saddiq berkata perbuatan tersebut bukan kejadian terpencil, sebaliknya mencerminkan penghinaan yang pernah dilaporkan sebelum ini, namun kali ini menerima reaksi lebih meluas daripada masyarakat antarabangsa.
Beliau turut mendakwa bahawa beberapa sekutu utama Israel termasuk Amerika Syarikat serta negara-negara seperti United Kingdom, Kanada, Itali, Perancis, Sepanyol, Jerman, Poland dan Kesatuan Eropah (EU) turut mengecam tindakan berkenaan.
Baca juga:
- ‘Siapa kata pejuang sumud tiada taring?’ – Syed Saddiq
- Presiden PTM nafi dakwaan tular isu salah guna kuasa, minta wang
- Kapal SS Free Gaza dan SS Liberty cipta sejarah tembusi sekatan Israel ke Gaza pada 2008
Antara reaksi yang dipetik termasuk kenyataan Perdana Menteri Kanada yang menyifatkan insiden itu sebagai “abominable”, Perdana Menteri Itali sebagai “unacceptable”, manakala Menteri Luar United Kingdom menyatakan beliau “truly appalled”.
Syed Saddiq turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Israel sendiri dilaporkan mengambil pendirian menjauhkan diri daripada insiden tersebut, manakala Menteri Luar Israel menegaskan tindakan Ben-Gvir tidak mewakili negara itu.
“Jangan kata suara kita tidak penting. Bila rakyat bersuara, dunia terpaksa melihat. Bila dunia melihat, mereka tidak boleh sembunyi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perkembangan reaksi global terhadap isu ini menunjukkan gelombang kesedaran antarabangsa yang semakin meningkat terhadap situasi di Gaza.
“Terus bersuara, buka mata dunia dan lawan kekejaman,” katanya.









