PETA gesa Dara, Amoi dan Kelat tidak ditempatkan semula di zoo | The Reporter

PETA gesa Dara, Amoi dan Kelat tidak ditempatkan semula di zoo

PETA gesa gajah Dara Amoi Kelat ditempatkan di pusat perlindungan haiwan bukan zoo
Tiga gajah Asia, Dara, Amoi dan Kelat.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sebuah NGO antarabangsa yang memperjuangkan hak haiwan, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA), menggesa pihak berkuasa supaya tidak menghantar tiga ekor gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat ke mana-mana zoo lain sekiranya haiwan berkenaan dibawa pulang dari Jepun ke Malaysia.

Menurut PETA, haiwan tersebut sepatutnya tidak lagi hidup dalam kurungan dan wajar ditempatkan di pusat perlindungan yang lebih sesuai. Organisasi itu turut menegaskan kesediaan mereka membantu memindahkan gajah berkenaan ke sebuah pusat perlindungan haiwan yang diiktiraf, bagi memastikan mereka dapat hidup dengan lebih selamat serta menerima penjagaan yang sewajarnya.

“Kami menggesa pihak berkuasa supaya tidak menghantar mereka ke mana-mana zoo lain. Gajah-gajah ini wajar dibebaskan daripada kehidupan dalam kurungan dan ditempatkan di pusat perlindungan haiwan yang lebih sesuai,” katanya.

Baca juga:

Dalam perkembangan berasingan, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menerima kunjungan satu demonstrasi aman serta penyerahan memorandum berkaitan tuntutan “Kembalikan DAK” yang diketuai oleh Pengerusi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), YBhg. Datuk Dr. Kalai Vanar.

Menurut MPT, tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun di bawah perjanjian kerjasama antarabangsa antara Tennoji Zoo, Osaka dan Zoo Taiping & Night Safari yang diwakili MPT pada 19 Mei 2022 serta 6 Oktober 2022.

“Perjanjian ini adalah bagi tempoh 25 tahun dan program seumpama ini telah lama dilaksanakan oleh zoo di seluruh dunia,” menurut kenyataan itu.

MPT berkata, berdasarkan maklumat semasa daripada pihak pengurusan Zoo Tennoji, ketiga-tiga gajah berkenaan berada dalam keadaan baik serta dipantau secara berterusan oleh pakar veterinar dan penjaga haiwan berpengalaman.

Dalam kenyataan tersebut, turut diselitkan satu rakaman video terkini yang memaparkan keadaan Dara, Amoi dan Kelat sebagai bukti visual status semasa haiwan berkenaan.

Related Posts