Seekor anjing jalanan bernama Kali dipuji sebagai wira oleh penduduk sebuah Kampung Dhirakula di bawah kawasan Udala, daerah Mayurbhanj, India selepas mengorbankan nyawanya demi melindungi sekumpulan kanak-kanak daripada serangan ular berbisa dalam kejadian pada 20 April lalu.
Menurut laporan media tempatan seperti News18 dan Orissa Post, kejadian berlaku pada waktu pagi ketika lebih 30 murid sekolah rendah sedang berkumpul di luar bangunan sekolah.
Situasi cemas tercetus apabila seekor ular berbisa tiba-tiba menghampiri kawasan berkenaan. Kali yang berada berhampiran segera bertindak dengan berlari ke arah ular tersebut dan menghalangnya daripada mendekati kanak-kanak.
Dalam pergelutan sengit itu, anjing berkenaan berjaya membunuh ular tersebut. Namun, Kali dipercayai telah dipatuk pada bahagian mulut dan mengalami kecederaan serius sebelum mati tidak lama kemudian.
Baca juga:
- Gorila Kiyomasa tular, muka ‘overthinking’ lepas bergaduh dengan pasangan
- Selat Hormuz ditutup sepenuhnya susulan serangan AS
- Gempa 7.8 Magnitud: Video bangunan sekolah di Mindanao, Filipina runtuh tular
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kalangan murid yang berada di lokasi kejadian.
Sentuh hati penduduk
Tindakan berani Kali telah menyentuh hati penduduk kampung yang menyifatkannya sebagai wira penyelamat. Sebagai tanda penghargaan, penduduk mengadakan upacara pengebumian khas yang lazimnya hanya diberikan kepada manusia.
Menurut laporan Orissa Post, bangkai anjing tersebut dibalut dengan kain putih dan dihiasi bunga sebelum diarak mengelilingi kampung sebagai penghormatan terakhir, sebelum dikebumikan.
Penduduk tempatan dilaporkan berkata, pengorbanan Kali akan sentiasa dikenang kerana telah menyelamatkan nyawa anak-anak mereka daripada bahaya.









