Rafizi teruskan saman Caprice, dakwa isu ini cuba alih fokus Azam Baki | The Reporter

Rafizi teruskan saman Caprice, dakwa isu ini cuba alih fokus Azam Baki

Rafizi Ramli saman Caprice berkaitan dakwaan konflik kepentingan dan isu RM2.5 bilion
Rafizi saman Caprice susulan dakwaan konflik kepentingan dan isu RM2.5 bilion | Gambar: Malaysia Gazette / Harian Metro

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan akan meneruskan tindakan saman terhadap pempengaruh media sosial, Caprice selepas permintaan maaf yang diberi tempoh sebelum ini tidak dipenuhi.

Menurut Rafizi, kandungan yang dimuat naik Caprice didakwa membawa unsur tuduhan bahawa beliau mempunyai kepentingan dalam syarikat Invoke Solutions Sdn Bhd, sekali gus mencetuskan persepsi negatif terhadap integritinya.

Fitnah, sindiran dan innuendo tetap boleh diambil tindakan

Rafizi menjelaskan, kenyataan berbentuk sindiran atau soalan berunsur tuduhan tetap boleh dinilai sebagai fitnah di sisi undang-undang.

Katanya, elemen seperti innuendo dan maksud tersirat juga boleh diambil kira oleh mahkamah dalam menentukan sama ada sesuatu kenyataan itu melanggar undang-undang fitnah.

Beliau berkata demikian menerusi podcast Yang Berhenti Menteri (YBM) bersama moderator Haziq Azfar Ishak, malam tadi.

Baca juga:

Dakwaan RM2.5 bilion

Sebelum ini, Caprice mendesak Rafizi menurunkan hantaran media sosial dan membuat permohonan maaf sebelum jam 5 petang atau berdepan tindakan undang-undang.

Isu tersebut timbul susulan dakwaan berkaitan kes rasuah bernilai RM2.5 bilion yang dikaitkan dengan kontrak syarikat berkaitan Rafizi.

Bagaimanapun, Caprice menafikan pernah menyebut jumlah itu atau menggunakan perkataan rasuah dalam videonya.

Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan, bukti carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan pegangan yang didakwa sebenarnya adalah preference share berbentuk pinjaman, bukan saham berkepentingan.

Menurutnya, hubungan dengan individu terbabit hanyalah melibatkan urusan klien profesional.

Rafizi dakwa isu ini cuba alih perhatian daripada Azam Baki

Dalam masa sama, Rafizi berpendapat, kontroversi tersebut bertujuan mengalihkan perhatian daripada isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Katanya, taktik sedemikian bertujuan mengurangkan tumpuan awam terhadap siasatan yang sedang diperkatakan.

“Saya yakin, kalau benar saya menerima rasuah, sudah lama saya dipenjarakan. Tetapi sehingga kini, tiada perkara itu berlaku,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Related Posts