'Saya hampir bertakbir' - Fadhli Shaari tarik balik pujian terhadap PM | The Reporter

‘Saya hampir bertakbir’ – Fadhli Shaari tarik balik pujian terhadap PM

Ahmad Fadhli Shaari tarik balik pujian terhadap Perdana Menteri mengenai isu penghidangan arak di sekolah.
Gambar: Parlimen Malaysia

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, mengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mendakwa pendirian berhubung larangan arak di kawasan sekolah berubah dalam tempoh kurang sehari.

Menerusi satu kenyataan yang dibuat selepas sesi Dewan Rakyat semalam, Fadhli berkata beliau pada awalnya memuji ketegasan Perdana Menteri dalam menjaga institusi pendidikan semasa pernah memegang portfolio Menteri Pendidikan dahulu.

“Saya sangka ketegasan itu masih kekal, apatah lagi beliau dengan yakin menyatakan bahawa ‘arak tidak akan lagi dibenarkan di kawasan sekolah.’ Tepukan pun kedengaran. Saya hampir bertakbir,” katanya.

Namun, menurut Fadhli, kenyataan Perdana Menteri itu kemudiannya disanggah oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, yang menuduh keputusan tersebut sebagai tindakan ‘tunduk kepada golongan ekstremis’.

“Dan seperti biasa, kerajaan pun ‘menjelaskan’ bahawa garis panduan lama dikekalkan, maksudnya arak masih boleh dihidangkan di sekolah Cina seperti biasa,” katanya, menyindir tindakan kerajaan yang dianggap cepat menukar pendirian apabila ditegur oleh DAP.

Beliau turut menegaskan bahawa isu ini bukan soal ekstremisme atau liberalisme, tetapi persoalan asas mengenai kesesuaian budaya minum arak dikaitkan dengan institusi pendidikan.

“Ironinya, bila suara yang menyoal datang dari blok pembangkang, terus dilabel kolot dan sempit. Tapi bila suara lantang datang dari DAP, barulah kerajaan cepat ‘menyesuaikan kefahaman’,” katanya.

Baca juga:
Tarik balik pujian

Fadhli juga menyindir bahawa kerajaan kini “mabuk dengan kuasa dan takut hilang undi”, sambil menarik balik pujiannya terhadap Perdana Menteri.

“Nampaknya, bukan rakyat yang menentukan arah negara ini tetapi siapa yang paling kuat menghentak meja dalam mesyuarat kabinet. Arak di sekolah? Hal kecil bagi mereka. Tapi bagi kita yang masih waras, ia tanda besar bahawa kerajaan ini sudah lama mabuk dengan kuasa dan takut hilang undi.

“Tahniah DAP. Tan Sri Yang Dipertua, saya tarik balik pujian itu, terima kasih,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendiriannya untuk memastikan alkohol tidak dihidangkan di kawasan sekolah kerana tindakan itu bercanggah dengan nilai asas pendidikan.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada isu yang dibangkitkan Fadhli, berhubung penghidangan arak pada majlis perhimpunan alumni baru-baru ini di Institusi St. Michael, Ipoh.

Related Posts