Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendiriannya untuk memastikan alkohol tidak dihidangkan di kawasan sekolah kerana tindakan itu bercanggah dengan nilai asas pendidikan.
Beliau berkata larangan itu bukan soal memaksa nilai agama, tetapi untuk mengekalkan persekitaran sekolah sebagai tempat pembentukan insan dan bukannya pesta sosial.
“Saya percaya ada yang bimbang seolah-olah kita memaksa pandangan Islam, tetapi maksud saya ialah melihat falsafah pendidikan, adakah pendidikan sekadar menimba ilmu, atau membentuk manusia dan nilai manusiawi,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut Anwar, penganjuran sebarang acara yang melibatkan alkohol di kawasan sekolah termasuk oleh pihak luar tidak wajar diteruskan.
“Saya cenderung untuk tidak membenarkan pesta-pesta seperti itu, termasuk pesta kerajaan, sama ada sebelum atau selepas majlis,” katanya.
Baca juga:
- Isu warga Israel: Kongres AS tekan Washington kaji semula hubungan dengan Malaysia
- Pergaduhan murid tular: JPWPKL tiada kompromi terhadap salah laku keganasan
- Maritim Malaysia nafi dakwaan bot bawa PATI Rohingya masuk melalui pesisir pantai
Isu alumni St Michael’s jadi tumpuan
Kenyataan Anwar merujuk kepada acara jamuan tahunan Old Michaelian’s Association di St Michael’s Institution, Ipoh, yang mencetuskan perdebatan selepas laporan mendakwa alkohol dihidangkan semasa majlis itu.
Perkara itu dibangkitkan oleh Ahmad Fadhli Shari (PN–Pasir Mas) yang meminta penjelasan kerajaan. Anwar menegaskan prinsip tersebut boleh dikuatkuasakan di sekolah awam kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan.
“Kalau sekolah milik kerajaan, saya tak fikir kita harus langgar prinsip ini,” katanya.
KPM perketat peraturan baharu
Anwar turut memaklumkan Kementerian Pendidikan sedang meneliti semula peraturan berkaitan bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
“Walaupun dikatakan kawasan itu disewa oleh badan bebas dan ada arak serta perjudian, ini bukan mendidik anak-anak. Ia melanggar falsafah pendidikan kita sendiri,” katanya sambil memaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sudah membawa perkara itu ke perhatian beliau.
Sumber: MalaysiaKini








