Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis mengesahkan punca kematian seorang murid tahun empat yang ditemui tidak sedarkan diri di tandas lelaki sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini berpunca daripada tekanan pada bahagian leher.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, penemuan itu dibuat selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau petang tadi.
“Bedah siasat mendapati kematian mangsa adalah akibat tekanan pada leher. Tiada kesan kecederaan lain dikesan pada tubuh mangsa,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini polis telah merekodkan 27 keterangan daripada pelbagai pihak. Tumpuan siasatan kini termasuk mengenal pasti apa yang berlaku sebelum mangsa ditemui di tandas, selain meneliti kronologi saat mangsa tidak sedarkan diri.
Baca juga:
- Sultan Selangor kagum keberanian aktivis Malaysia dalam misi kemanusiaan ke Gaza
- ‘Lantik warden dalam kalangn cikgu lebih sesuai’ – Timbalan Menteri Pendidikan
- MyCARE tuntut pembebasan sukarelawan Malaysia
Beliau menegaskan, polis memerlukan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus dengan mengambil kira keperluan melindungi saksi kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Selepas hampir tiga jam proses bedah siasat, jenazah kanak-kanak berusia 10 tahun itu dibawa keluar dari Unit Perubatan Forensik kira-kira jam 6.30 petang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights selepas solat Maghrib.
Media sebelum ini menyebut polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan iaitu kesalahan buli melalui komunikasi. Mangsa ditemui tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke sebuah klinik swasta namun disahkan meninggal dunia.
Sumber: Harian Metro