Seorang murid lelaki Tahun Empat di sebuah sekolah kebangsaan di Senawang ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pada Rabu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.19 tengah hari sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
“Mangsa dilaporkan meninggalkan kelas pada jam 12.10 tengah hari sebelum ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah. Dia kemudian dibawa ke sebuah klinik swasta oleh cikgu disiplin, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor,” katanya.
Menurut beliau, kes kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan kesalahan membabitkan perbuatan buli. Bedah siasat dijadualkan bagi mengenal pasti punca kematian sebenar.
Baca juga:
- Lelaki warga emas cedera dipercayai digigit buaya ketika menjala udang
- Jemaah haji wanita Malaysia meninggal dunia di Makkah
- Insiden Platform Sepat: PETRONAS siasat punca kejadian
Memetik laporan Berita Harian, Seksyen 507C Kanun Keseksaan digunakan untuk mendakwa kesalahan yang berkaitan dengan perbuatan buli, terutama membabitkan komunikasi yang mengancam atau menghina.
Dalam pada itu, Alzafny menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden berkenaan memandangkan siasatan masih dijalankan.
Sumber: Berita Harian








