Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Aktivis kemanusiaan, Thiago Ávila mendakwa misi flotila Global Sumud yang digerakkan ke Gaza sedang berdepan serangan berterusan meskipun dilindungi oleh undang-undang antarabangsa.
Menurutnya, sekurang-kurangnya 10 letupan telah kedengaran ketika kapal kecil dalam konvoi itu menjadi sasaran, dengan cubaan memusnahkan layar menggunakan peranti yang berupaya mencederakan individu serta merosakkan bot.
“Kami baru sahaja mendengar letupan ke-10. Mereka masih tidak berhenti menyerang misi kami, Global Sumud Flotila, sebuah misi kemanusiaan, bukan ganas dan solidariti untuk memecah sekatan Gaza,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa serangan tersebut tidak hanya mengancam keselamatan ratusan sukarelawan tetapi juga mencabar misi solidariti antarabangsa yang mahu menyampaikan mesej kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
“Sepuluh bot kami sudah disasarkan. Dunia perlu tahu bahawa misi kemanusiaan kami sedang diserang. Kami perlukan tekanan maksimum dari kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk menjamin laluan selamat,” katanya lagi.
Baca juga:
- Trump janji halang Israel rampas wilayah Tebing Barat
- Budak 11 tahun masuk hospital selepas dipaksa belajar 14 jam tanpa henti
- Itali & Sepanyol hantar kapal tentera laut bantu GSF
Ávila turut menekankan bahawa misi itu akan diteruskan kerana ia selari dengan undang-undang antarabangsa, namun menegaskan pihak yang melakukan serangan mesti membayar harga yang besar agar tidak terus bertindak tanpa akauntabiliti.
Flotila Global Sumud membawa ratusan aktivis antarabangsa dengan puluhan kapal layar kecil, bertujuan menembusi sekatan laut Israel ke atas Gaza bagi menghantar bantuan dan menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin.