Pempengaruh Ija & adik mengaku bersalah, dipenjara sebulan, denda RM1,500 | The Reporter

Pempengaruh Ija & adik mengaku bersalah, dipenjara sebulan, denda RM1,500

Pempengaruh Ija dan adik dikenakan hukuman penjara sebulan.
Gambar: Alias Abd Rani/ Harian Metro

Pempengaruh dan adik lelakinya yang mencetuskan kekecohan apabila membuat laporan palsu berhubung kehilangannya di Sungai Tui, Bukit Kepong, pada 14 Julai lalu, masing-masing dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret Suzana Mokhtar membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, dan adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan pempengaruh yang dikenali sebagai Ija itu dipenjara tiga bulan manakala adiknya enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Hukuman penjara berkuat kuasa serta-merta bermula hari ini.

Baca juga:

Terdahulu, tular mengenai seorang pempengaruh permotoran yang didakwa telah hilang selepas kereta yang dipandunya terjunam ke dalam sungai. Operasi mencari pempengaruh berkenaan dijalankan dengan melibatkan anggota pihak berkuasa, rakan-rakan dan juga keluarga.

Namun, siasatan mendapati individu berkenaan mereka cerita tentang kehilangannya. Dia dikesan melarikan diri ke negara jiran.

Adiknya pula disyaki bersubahat dan memberikan keterangan palsu berhubung insiden kehilangan Ija.

Sumber: Harian Metro

Related Posts