Adik mengaku bersubahat
Misteri kehilangan pempengaruh permotoran Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, akhirnya terbongkar apabila dia sebenarnya melarikan diri ke negara jiran dan bukan hilang seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memaklumkan, siasatan polis mendapati adik lelaki mangsa yang berusia 30 tahun telah membuat laporan palsu kononnya abangnya hilang semasa dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Muar untuk membaiki kereta.
“Hasil soal siasat, adik mangsa mengaku bersubahat dengan abang kandungnya dan berpura-pura menjalankan operasi mencari bagi mengelirukan siasatan polis. Polis percaya kejadian ini direka untuk kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca juga:
- Pramugara Hafeez dilaporkan kritikal
- Guna aplikasi navigasi, lima warga China cedera kereta terjunam ke gaung di Machang
- Dari LRT2 ke LRT3, legasi seorang bapa diteruskan anak
Kereta ditenggelamkan di sungai, plot palsu terbongkar
Siasatan turut mendedahkan Tengku Nizaruddin dipercayai sengaja menenggelamkan kereta Perodua Axia milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong sebelum melarikan diri ke negara jiran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu dan Seksyen 109 kerana bersubahat.
15 Julai lalu media melaporkan pempengaruh dikenali sebagai Ija Nizaruddin dikhuatiri lemas selepas keretanya ditemui terbabas ke dalam sungai di Kampung Tui, Pagoh.
Mangsa dilaporkan keluar dari rumahnya di Johor Bahru pada jam 12 tengah hari sebelum ‘hilang’ secara misteri.
Sumber: Kosmo! Online








