Luahan isteri Loe Solo sempena ulang tahun perkahwinan ke-10 | The Reporter

Luahan isteri Loe Solo sempena ulang tahun perkahwinan ke-10

Isteri Loe Solo meluahkan kerinduan terhadap suaminya yang masih belum ditemukan di Nepal
Gambar: Facebook Hani othman, Loe Solo

Hani menerusi hantaran di media sosial meluahkan kerinduan terhadap suaminya yang masih belum ditemukan selepas terputus hubungan ketika berada di Rasuwa, Nepal, susulan bencana banjir dan tanah runtuh pada 26 Ogos lalu.

Lebih menyentuh hati, tarikh berkenaan merupakan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10 selepas pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 September 2016.

“Abang patut balik hari ni. Abang dah janji nak bawa balik hadiah anniversary.

“Nervous laaaa hadiah apa abang nak bagi tahun ni,” tulis Hani dalam hantaran tersebut.

Hani turut mengimbas pelbagai perancangan yang sepatutnya mereka lalui bersama, termasuk menduduki peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) TVET pada 6 September, selain melengkapkan kursus Divemaster di Pulau Tioman pada Oktober.

Malah, mereka turut mempunyai perancangan untuk melakukan pendakian ke Gunung Rinjani di Indonesia pada Mei dan Gunung Kilimanjaro di Tanzania pada Ogos.

Namun, impian yang paling dekat dengan hati mereka ialah hasrat Loe untuk menawan puncak Gunung Everest.

“Sayang dah cakap kat abang kan kita akan training sama-sama dan sayang akan teman abang kali ni sampai ke Puncak Everest.

“Impian abang nak ke puncak Everest tak settle lagi ni tau,” luahnya.

Loe yang juga Pegawai Bomba Kanan II daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia merupakan antara rakyat Malaysia yang masih belum dikesan selepas bencana melanda daerah Rasuwa. Beliau berada di Nepal bagi aktiviti pendakian menuju Everest Base Camp ketika kejadian berlaku.

Baca juga:
Pencarian masih diteruskan

Sementara itu, usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan di kawasan bencana terus dipergiatkan, meskipun operasi berdepan cabaran besar akibat kerosakan jalan raya, jambatan serta infrastruktur komunikasi.

Pada 2 September lalu, sebuah helikopter persendirian dilaporkan digerakkan bagi membantu pencarian 17 rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan di kawasan Rasuwa, dengan tumpuan diberikan kepada lokasi terakhir kumpulan berkenaan diketahui berada.

Loe sebelum ini turut disenaraikan dalam senarai rakyat Malaysia yang tidak dapat dihubungi oleh pihak berkuasa Nepal. Nama beliau termasuk dalam senarai 23 rakyat Malaysia yang dikeluarkan Nepal Police pada 27 Ogos.

Abang Loe, Mohd Saiful Munir Mohd Isa, turut menyertai misi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal, selain mahu membantu operasi pencarian dan mendapatkan perkembangan mengenai keadaan adiknya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wisma Putra sebelum ini memaklumkan pihak Kedutaan Malaysia di Kathmandu terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal bagi mendapatkan dan mengesahkan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan. Kerajaan juga menegaskan bahawa sebarang perkembangan mengenai individu terbabit hanya akan diumumkan selepas melalui proses pengesahan.

Sumber: Facebook Hani Othman, Sinar Harian, Bernama

Related Posts