Kanak-Kanak dijadikan 'maskot' jalanan, netizen gesa tindakan tegas pihak berkuasa | The Reporter

Kanak-Kanak dijadikan ‘maskot’ jalanan, netizen gesa tindakan tegas pihak berkuasa

Seorang kanak-kanak memakai kostum maskot kartun berdiri di kawasan awam sambil meminta sumbangan.
Gambar tular seorang kanak-kanak berdiri memakai kostum kartun.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kebelakangan ini, kelihatan semakin ramai individu yang mengenakan kostum watak kartun di pelbagai lokasi tumpuan ramai, sekali gus menarik perhatian orang awam, khususnya kanak-kanak. Penampilan mereka yang kelihatan ceria seolah-olah hadir untuk menghiburkan orang ramai, sambil mengharapkan imbuhan dalam bentuk bayaran.

Namun, siapa sangka di sebalik kostum yang berwarna-warni itu, rupa-rupanya tersembunyi tubuh kecil kanak-kanak yang diberikan tugas tersebut.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana keletihan, kepanasan dan ketidakselesaan yang terpaksa ditanggung oleh kanak-kanak sewaktu menyarung kostum tersebut berjam-jam lamanya.

Baca juga:

Melihat kegigihan dan kesungguhan mereka, tidak hairan jika ramai yang tersentuh hati lalu menghulurkan sumbangan, belanja makan, bahkan memberi wang tanpa banyak soal. Namun, persoalan yang lebih besar timbul siapakah dalang di sebalik ‘usaha gigih’ ini? Apakah wujud pihak yang mengambil kesempatan dengan memperalatkan kanak-kanak demi mendapatkan wang mudah?

Perkara ini turut mendapat perhatian personaliti media sosial, Mohd Fadli Salleh, yang menggesa agar pihak berkuasa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan sewajarnya untuk menyiasat dan membendung isu ini.

Netizen dedah insiden

Menerusi beberapa perkongsian di Thread, ada yang tampil berkongsi pengalaman berhadapan dengan kanak-kanak berkostum ini yang meminta makanan kerana lapar. Rata-rata menyuarakan rasa simpati dan pada masa sama mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang memperalatkan kanak-kanak.

Kanak-kanak perlu dilindungi

Umumnya berpendapat bahawa kanak-kanak tidak sepatutnya menjadi mangsa eksploitasi demi mengaut keuntungan. Mereka sepatutnya berada di sekolah, bermain, dan menikmati zaman kanak-kanak, bukan bekerja di jalanan dalam keadaan tidak selesa.

Jika tidak ditangani segera, dikhuatiri lebih ramai kanak-kanak akan dijadikan ‘alat mencari nafkah’ oleh individu tidak bertanggungjawab dan bukan atas dasar bakat mahupun potensi, tetapi semata-mata demi mengisi poket orang dewasa.

Orang ramai berharap agar pihak berkuasa menjalankan pemantauan rapi dan mengambil tindakan tegas agar isu ini tidak terus berleluasa.

Related Posts