Rockstar umum GTA VI ditunda ke 26 Mei 2026 | The Reporter

Rockstar umum GTA VI ditunda ke 26 Mei 2026

Watak utama GTA VI duduk di atas kereta klasik berlatarbelakangkan pemandangan bandar fiksyen Leonida pada waktu senja
Lucia dan pasangan muncul dalam latar Leonida — GTA VI bakal tiba 26 Mei 2026!

Rockstar Games mengesahkan permainan video yang paling dinanti-nantikan, Grand Theft Auto VI (GTA VI), hanya akan dilancarkan pada 26 Mei 2026. Pengumuman ini dibuat menerusi satu kenyataan rasmi di akaun Instagram dan laman web syarikat itu semalam.

Menurut kenyataan tersebut, Rockstar memohon maaf kepada para peminat kerana pelancaran GTA VI mengambil masa lebih lama daripada jangkaan. Namun mereka menegaskan penangguhan ini adalah perlu bagi memastikan kualiti permainan berada pada tahap terbaik.

“Kami amat menghargai minat dan keterujaan luar biasa terhadap GTA baharu ini. Terima kasih atas sokongan dan kesabaran anda sepanjang kami menyiapkan permainan ini,” tulis Rockstar Games.

GTA VI telah menjadi topik hangat sejak treler rasminya dilancarkan pada Disember 2023, yang memperkenalkan bandar fiksyen baharu dikenali sebagai Leonida, diinspirasikan dari negeri Florida serta menampilkan kembali bandar ikonik Vice City.

Dalam kenyataan itu juga, Rockstar menyatakan setiap permainan yang dibangunkan oleh mereka bertujuan melebihi jangkaan pemain, dan GTA VI tidak terkecuali. Mereka percaya masa tambahan ini amat penting untuk menyampaikan pengalaman permainan yang benar-benar mengagumkan.

Sementara itu, pengumuman tersebut turut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial. Seorang pengguna Instagram menulis, “Sudah 4,246 hari sejak GTA V… apa salahnya tunggu 389 hari lagi?”, manakala yang lain pula menyuarakan rasa kecewa, merayu agar permainan itu tidak ditangguhkan lagi.

Dengan tarikh pelancaran baharu ini, GTA VI akan hadir hampir 13 tahun selepas GTA V diperkenalkan pada 2013, menjadikan jurang antara dua siri ini yang paling lama dalam sejarah francais tersebut.

Related Posts