Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Permainan video yang dahulunya sekadar hobi, kini menjadi sumber pendapatan bagi generasi milenial dan Gen Z. Salah seorang remaja yang berjaya mengubah perspektif ibunya ialah, Jaden Ashman, 15, dari Britain, selepas membeli sebuah rumah untuk ibunya dengan wang kemenangan $1 juta (RM4.7 juta) hasil bermain permainan “Fortnite.”
Jaden, bersama rakan sepasukannya dari Belanda, meraih tempat kedua dalam kategori duo pada Piala Dunia Fortnite di Queens, New York, dengan membawa pulang sekitar $2.2 juta (kira-kira RM10.4 juta) yang dibahagikan antara mereka.
“Saya akan beli rumah, tetapi saya belum tahu di mana. Mungkin saya juga akan beli kasut Gucci dan kereta untuk ibu saya, sebab dia sekarang memandu Fiat 500,” katanya.
Jaden juga bercadang untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional selepas kemenangan itu.
“Saya tidak bercadang untuk dapat duit ini dan terus berhenti. Saya masih ada karier penuh dalam permainan video.”
Jaden, yang dikenali dengan nama Wolfiez, menjadi jutawan termuda dalam e-sukan pada 2019. Ketika bercakap dengan Guinness World Records, Jaden mengatakan kebanyakan wang kemenangan disimpan, dan hanya sedikit digunakan untuk membeli rumah keluarganya.
Walaupun Jaden sudah berjaya, ibunya, Lisa Dallman, masih mahu dia habiskan pelajarannya di Abbs Cross Academy, Hornchurch, London Timur.
“Dia baru 15 tahun, dan pelajarannya sangat penting bagi saya. Kami sering berselisih pendapat mengenainya,” kata Lisa, yang juga ibu kepada dua anak lain, James dan Katie.
Lisa mengaku pernah membuang Xbox dan mematahkan fon kepala Jaden selepas pihak sekolah memberitahu prestasi Jaden merosot.
“Jaden sangat bijak, dan saya mahu dia berjaya. Saya tidak sedar betapa besarnya perkara ini. Saya fikir dia hanya bermain permainan video dan perlu memberi tumpuan pada pelajaran. Titik perubahan berlaku apabila dia layak ke Piala Dunia,” tambahnya.
Permainan Fortnite yang dilancarkan oleh Epic Games pada 2017, kini menjadi fenomena global dengan dianggarkan 250 juta pemain, menjadikan nilainya sekitar £6 bilion (kira-kira RM35.3 bilion). – Agensi