Steam sahkan pengguna tidak memiliki permainan yang telah dibayar - The Reporter

Steam sahkan pengguna tidak memiliki permainan yang telah dibayar

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Platform permainan terkenal Steam telah mengesahkan, pengguna yang membeli permainan sebenarnya tidak memiliki permainan tersebut secara mutlak. Sebaliknya, mereka hanya membeli lesen untuk menggunakan permainan yang dibayar.

Menurut Perjanjian Pelanggan Steam (Steam Subscriber Agreement), apabila pengguna membeli permainan, mereka diberikan lesen peribadi, tidak boleh dipindahkan, dan tidak eksklusif untuk menggunakan permainan itu melalui platform Steam.

Ini bermakna, pembelian permainan di Steam tidak memberikan hak pemilikan penuh terhadap permainan tersebut. Sebaliknya, pengguna hanya diberi kebenaran untuk mengakses dan bermain permainan itu selagi ia tersedia di platform.

Perjanjian ini juga menyatakan bahawa, Steam atau penerbit permainan berhak untuk menarik balik permainan daripada platform. Sekiranya ini berlaku, pengguna mungkin kehilangan akses kepada permainan tersebut, walaupun mereka telah membayar untuknya.

Sebagai langkah untuk lebih mematuhi undang-undang baru di California, yang akan berkuat kuasa pada tahun 2025, Steam kini lebih telus dalam menyatakan bahawa setiap pembelian permainan digital di platform mereka adalah sebenarnya pembelian lesen dan bukannya produk yang dimiliki sepenuhnya oleh pengguna.

Sebelum menyelesaikan sebarang pembelian, pengguna akan dapat melihat mesej yang menyatakan, “pembelian produk digital memberikan lesen untuk produk tersebut di Steam.”

Perkembangan ini menunjukkan perubahan dalam cara hak pemilikan digital dikendalikan oleh platform permainan, dan ia mungkin menjadi penanda aras bagi platform digital lain untuk mengikut jejak yang sama.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh merujuk kepada Perjanjian Pelanggan Steam yang tersedia di laman web rasmi mereka. – Agensi

Total
0
Shares
Total
0
Share