Baru 20 jam diserahkan, anak kucing ini jatuh lima tingkat dan cedera parah | The Reporter

Baru 20 jam diserahkan, anak kucing ini jatuh lima tingkat dan cedera parah

Anak kucing bernama Wonton menerima rawatan selepas terjatuh dari tingkat lima.
Wonton kini dalam rawatan selepas cedera parah akibat jatuh dari tingkat lima rumah keluarga barunya.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang pencinta haiwan meluahkan rasa sedih selepas anak kucing yang diselamatkannya sebelum ini telah dikembalikan dalam keadaan cedera parah, hanya 20 jam selepas diserahkan kepada keluarga angkat baharu.

Menurut perkongsian @feederofcats, anak kucing bernama Wonton itu pada mulanya kelihatan gembira dan sihat ketika diserahkan kepada keluarga baharunya itu pada Khamis lalu. Namun, keesokan paginya, dia menerima panggilan mengejutkan di mana Wonton telah terjatuh dari tingkat lima selepas keluar melalui tingkap.

“Dia jatuh malam itu, tapi baru disedari pagi esok. Wonton ditemui dalam keadaan menyayat hati di bawah kereta. Mujur mereka telefon saya,” katanya.

Wonton kemudian segera dibawa ke hospital haiwan dalam keadaan tidak boleh bergerak, kesakitan melampau, dan beberapa anggota badannya cedera parah. Doktor memberi suntikan tahan sakit, memasukkan tiub intravena (IV), dan memberikan sokongan oksigen kerana Wonton turut mengalami kecederaan di bahagian paru-paru.

“CT scan tunjuk kedua-dua kaki depan patah, rahang patah, satu tulang rusuk retak dan beberapa keretakan kecil di muka. Tapi dia masih cuba ‘mengurut’ (kneading) walaupun tangan berbalut. Hati saya hancur berkecai melihat keadaannya seperti itu,” katanya.

Setakat ini, Wonton berada dalam keadaan stabil dan masih di bawah pemantauan. Pembedahan akan dilakukan pada Isnin (semalam) bagi menentukan sama ada kakinya boleh diselamatkan atau tidak.

“Ini mimpi paling buruk saya. Saya ingat dah beri dia kehidupan baharu yang baik, tetapi kini dia sedang bertarung nyawa,” luahnya sebak.

Dalam masa sama, dia memohon orang ramai agar tidak menyalahkan keluarga baharu itu kerana menurutnya, kejadian tersebut adalah kemalangan yang tidak disengajakan.

Related Posts