Hans Isaac kembali dilantik Pengerusi FINAS | The Reporter

Hans Isaac kembali dilantik Pengerusi FINAS

Hans Isaac
Hans sebelum ini pernah memegang jawatan yang sama dari April 2019 hingga Mei 2020. Gambar: Instagram Hans Isaac

Penerbit dan pengarah filem, Datuk Hans Isaac kembali dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Pelantikan tersebut diumumkan oleh agensi berkenaan menerusi hantaran di Instagram.

“Setinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Datuk Gerald Hans Isaac di atas pelantikan sebagai Pengerusi Finas berkuat kuasa 26 Mac 2025,” katanya.

Hans menggantikan bekas pengerusi, Datuk Kamil Othman, yang menamatkan perkhidmatan pada 22 Februari lalu.

Dalam pada itu, Hans menzahirkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil atas kepercayaan yang diberikan.

“Penggal berkhidmat di Perbadanan Stadium Malaysia telah pun berakhir. Kini saya akan melangkah ke dalam industri yang berjaya melonjakkan nama saya ke suatu peringkat.

“Pernah menjawat sebagai Pengerusi FINAS dan terpaksa melepaskan jawatan selepas berlakunya ketidakseimbangan politik semasa itu. Berbagai manifesto yang ingin saya laksanakan di dalam industri seni selain mengangkat pejuang belakang tabir agar menerima kesamaan setanding keringat mereka.

“Kini, saya akan kembali memegang amanah sebagai Pengerusi FINAS bagi penggal baru. Setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil atas kepercayaan untuk saya melaksanakan tanggungjawab di dalam FINAS.

Hans sebelum ini pernah memegang jawatan yang sama dari April 2019 hingga Mei 2020.

Related Posts