'Had tempoh pegang jawatan PM bukan ukuran kejayaan dalam pentadbiran' - Tun M | The Reporter

‘Had tempoh pegang jawatan PM bukan ukuran kejayaan dalam pentadbiran’ – Tun M

Tun Mahathir
Sumber Gambar: FB Dr Mahathir Mohamad

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, had tempoh seseorang memegang jawatan Perdana Menteri bukan ukuran kejayaan dalam pentadbiran negara, tetapi kemampuan dan integriti individu dalam menjalankan tanggungjawabnya lebih penting berbanding tempoh berkenaan.

Cadangan oleh parti DAP untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun itu baginya tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya individu yang dipilih tidak menjalankan tugas sebaiknya.

“Jika 10 tahun sekali pun, sekiranya seorang itu orang yang tidak baik, dia boleh lakukan bermacam-macam benda yang merosakkan negara.

“Namun, sekiranya dia seorang Perdana Menteri yang berjaya, baik dan disukai ramai, maka 10 tahun tidak mencukupi. Itu pendapat sayalah,” katanya.

Had tempoh pentadbiran bukan penentu

Beliau berkata, jawatan sebagai Perdana Menteri yang telah dipegang oleh beliau selama 22 tahun merupakan jangka masa yang panjang, namun jelasnya masih terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan dan memerlukan lebih banyak masa yang panjang.

“22 tahun pun tidak dapat selesai segala rancangan yang ada pada saya.

“Yang penting bukan berapa lama seorang Perdana Menteri menjadi Perdana Menteri tetapi kemungkinan dia dijatuhkan ataupun diturunkan apabila dia melakukan sesuatu yang tidak baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan peranan sebagai wakil rakyat penting dalam memberikan sokongan hanya kepada Perdana Menteri.

“Sebab itu, wakil rakyat hendaklah memberi sokongan hanya kepada seorang Perdana Menteri yang melakukan sesuatu yang baik, yang diluluskan oleh rakyat dalam pilihan raya,” katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts