Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali merupakan seorang tokoh wanita yang dihormati di Malaysia. Sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau bukan sekadar suri rumah kepada pemimpin negara, malah seorang doktor perubatan yang banyak menyumbang dalam bidang kesihatan, khususnya dalam memperjuangkan kesihatan wanita dan kanak-kanak.
Sifatnya yang lemah lembut, rendah hati dan sentiasa berdampingan dengan rakyat menjadikan beliau figura yang disayangi ramai.
Baru-baru ini, satu video memaparkan Tun Hasmah berhijab ketika menghadiri sebuah majlis bersama suaminya telah menarik perhatian ramai. Video yang dimuat naik oleh TikToker Adam Mohd Muhayeddin itu memperlihatkan Tun Hasmah mengenakan tudung sambil dipimpin keluar dari sebuah kenderaan menuju ke majlis tersebut.
Penampilan beliau dalam imej baharu ini segera mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Rata-rata mereka memuji keanggunan Tun Hasmah, malah ada yang terharu melihat perubahan tersebut.
- LRT3 Shah Alam: Sultan Selangor zahir penghargaan kepada Najib dan Anwar
- Hilang sebelah kaki bukan penghalang, dua beradik gigih usahakan Cendol Meleleh
- ‘Dulu BN buat, dilabel macam-macam, sekarang tukar nama je’ – Wee Ka Siong
- ‘Undilah calon Melayu tanpa kesetiaan kepada mana-mana parti atau NGO’ – Tun M
- PERHILITAN tambah baik SOP penggunaan gajah dalam program awam
“Lain sangat wajah Tun Hasmah, nampak berseri dan lebih muda,” komen seorang pengguna.
Selain itu, ada juga yang melihatnya sebagai satu titik perubahan besar dalam hidupnya.
“Alhamdulillah, Allah bukakan hatinya untuk berhijab di penghujung usia. Hidayah itu milik Allah,” tulis seorang lagi pengguna.
Video tersebut turut mengundang perbincangan dalam kalangan netizen mengenai amalan gaya hidup sihat Tun Hasmah yang membolehkannya kekal bertenaga sehingga kini. Ada yang berharap agar rahsia kesihatannya dapat dikongsi untuk manfaat ramai.
Sama ada ini satu perubahan kekal atau hanya untuk majlis tertentu, ramai yang tetap menghormati dan mengagumi Tun Hasmah sebagai seorang wanita berjiwa besar yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada suaminya dalam arena politik negara.








