Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Enam individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman pada Isnin, 25 Februari 2025 atas pertuduhan memukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental di pasar pagi Chukai, bulan lalu. Antara tertuduh ialah seorang bapa bersama dua anak lelakinya.
Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, lima daripada mereka mengaku bersalah manakala seorang lagi memilih untuk dibicarakan.
“Kesemua yang mengaku bersalah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 setiap seorang,” katanya.
Dalam kejadian yang berlaku pada 17 Januari lalu kira-kira jam 9.30 pagi, mangsa, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang lebih dikenali sebagai Paijang, dipukul selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar salah satu gerai jualan, menyebabkan barangan niaga di gerai tersebut bertaburan.
Insiden tersebut yang berlaku di pasar pagi Jalan Padang Astaka, Chukai sempat dirakam oleh orang awam dan video berdurasi 1 minit 52 saat kemudian ditularkan di media sosial, mencetus pelbagai reaksi netizen.
Sumber: Utusan Malaysia








