Angkara pemandu terlelap, 2 remaja berusia 16 tahun terkorban dalam kemalangan | The Reporter

Angkara pemandu terlelap, 2 remaja berusia 16 tahun terkorban dalam kemalangan

Sumber gambar: Orang Awam

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Malam semalam telah menyaksikan satu tragedi yang memilukan apabila dua remaja berusia 16 tahun, Putra Norsyaqir Putrawirawan dan Erwan Idris, telah terkorban dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah motosikal dan dua buah kereta di Jalan Krubong Permai.

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.30 malam.

Siasatan awal mendapati, seorang pemuda berusia 25 tahun yang memandu sebuah kereta jenis Perodua Axia telah tersasar ke laluan bertentangan akibat terlelap dan seterusnya melanggar kedua-dua mangsa sebelum melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Akibat daripada impak kemalangan tersebut, Erwan yang mengalami kecederaan parah di badan telah meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara itu, Putra Norsyaqir pula telah menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.

Tambahnya, pemandu Perodua Axia yang terlibat dalam kemalangan tersebut dan pemandu serta penumpang Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sampel darah pemandu Perodua Axia telah diambil untuk mengesan kandungan alkohol dan dadah dan kes itu kini sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: Bernama

Related Posts