Seorang kanak-kanak perempuan warga Korea Selatan berusia lapan tahun yang diculik dan disumbat dalam beg pakaian oleh seorang lelaki di Pulau Cebu, Filipina, telah berjaya diselamatkan.
Kementerian Luar di Seoul dalam kenyataan medianya berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi dimasukkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.
Menurut laporan media, mangsa telah diculik dari rumahnya di Cebu sekitar waktu tengah hari, 10 Ogos 2023.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek mengheret sebuah beg pakaian besar sebelum menaiki sebuah kereta dan beredar dari lokasi kejadian.


Siasatan mendapati, suspek berusia lingkungan 30-an itu telah memecah masuk ke rumah keluarga berkenaan dan menunggu mangsa.
Sebaik saja ibu bapanya pulang, mereka mendapati mangsa tiada di rumah lalu segera melaporkan kehilangannya kepada pihak polis.
Hasil kerjasama pihak berkuasa tempatan dengan konsulat Korea Selatan di Cebu, suspek telah berjaya ditahan pada petang Khamis dan mangsa telah dikembalikan ke pangkuan keluarganya.
Penduduk turut bantu kongsi maklumat suspek
Penduduk Korea Selatan di Cebu juga turut membantu polis dengan berkongsi butiran mengenai suspek, termasuk model dan nombor pendaftaran kenderaannya di media sosial.
Ibu bapa mangsa berterima kasih kepada kedutaan Korea Selatan atas tindakan pantas dalam menangani kes itu, selain memastikan anak mereka pulang dalam keadaan yang selamat.
Siasatan lanjut mendapati, suspek, Godiflor Rama, 32, bekerja sebagai penjaga pangsapuri di kediaman keluarga mangsa.


Tak puas hati dituduh mencuri
Godiflor mengaku menculik mangsa kerana mahu memberi pengajaran kepada datuk dan nenek mangsa berikutan timbul perselisihan faham di antara mereka sebelum ini.
“Saya berharap mereka dapat memaafkan saya. Saya hanya melakukan perbuatan itu kerana mereka menuduh saya mencuri barangan mereka seperti beg dan penyangkut pakaian,” katanya.
Jelas Godiflor lagi, dia sengaja tidak menutup beg itu sepenuhnya bagi memberi ruang untuk mangsa bernafas. Malah dia tidak melakukan sebarang serangan gangguan seksual terhadap kanak-kanak itu meskipun mengakui mangsa kelihatan cantik.
“Saya akui dia cantik tetapi itu tidak bermakna saya menyukainya dan merogolnya. Saya beri dia makan dan permainan untuk bermain, serta berhasrat untuk kembalikan dia kepada keluarganya selepas enam jam,” katanya.
Sumber: The Korea Herald, New York Post








