Catcha Digital Berhad (Catcha Digital) mencatatkan prestasi suku tahunan terbaik dalam sejarah kumpulan itu apabila keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) terlaras meningkat 98 peratus kepada RM8.31 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (Q3 FY2026).
Pendapatan kumpulan bagi tempoh berakhir 30 September 2026 turut meningkat 69 peratus kepada RM42.80 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) terlaras meningkat 103 peratus kepada RM14.65 juta, manakala pendapatan sesaham (EPS) terlaras meningkat 56 peratus kepada 1.83 sen.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, Catcha Digital mencatatkan pendapatan sebanyak RM90.49 juta, meningkat 90 peratus, manakala PATAMI terlaras meningkat 61 peratus kepada RM11.95 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Catcha Digital, Eric Tan berkata, prestasi itu mencerminkan keberkesanan strategi kumpulan dalam mengambil alih syarikat peneraju pasaran, bekerjasama dengan pengasas untuk mengembangkan perniagaan serta melabur semula aliran tunai bagi membiayai pengambilalihan seterusnya.
“Kami amat terinspirasi oleh Berkshire Hathaway untuk menjadi naungan kekal bagi syarikat peneraju pasaran di Asia Tenggara.
“Suku ini menunjukkan strategi tersebut mula membuahkan hasil dengan mencatatkan pendapatan dan keuntungan suku tahunan tertinggi kami,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Media digital kekal pemacu utama keuntungan
Segmen media digital kekal sebagai penyumbang utama keuntungan kumpulan dengan pendapatan meningkat 63 peratus kepada RM28.97 juta berbanding RM17.81 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan hasil pengiklanan digital dan pengiklanan berasaskan pengalaman.
PATAMI terlaras bagi segmen berkenaan turut melonjak 192 peratus kepada RM5.08 juta, manakala margin EBITDA terlaras meningkat daripada 19 peratus kepada 31 peratus.
Menerusi iMedia Asia Sdn Bhd, Catcha Digital mempunyai portfolio jenama media digital termasuk OhMedia, Beautifulnara, WeirdKaya, Goody25, The Reporter, Moretify dan TechNave.
Segmen pameran perdagangan turut berkembang
Segmen pameran perniagaan ke perniagaan (B2B) pula mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 90 peratus kepada RM13.20 juta, dengan PATAMI terlaras meningkat 27 peratus kepada RM4.06 juta.
Prestasi itu disokong oleh penganjuran tiga pameran utama, iaitu Agri Malaysia, MBAM OneBuild dan Malaysian International Food and Beverage Exhibition (MIFB).
Lapan pengambilalihan sejak 2025
Pengerusi Catcha Digital, Patrick Grove berkata, kumpulan itu menjangkakan prestasi kewangan 2026 yang lebih kukuh berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh sumbangan lapan pengambilalihan yang telah diselesaikan sejak 2025.
Catcha Digital akan terus meneroka peluang kerjasama strategik, pelaburan dan pengambilalihan yang berupaya meningkatkan pendapatan sesaham serta memberikan pulangan jangka panjang kepada pemegang saham.
Setakat 30 September 2026, kumpulan itu mempunyai tunai dan kesetaraan tunai sebanyak RM31.70 juta, berbanding pinjaman bank berjumlah RM12.29 juta.
Berdasarkan harga penutupan saham pada 23 November 2026 iaitu 23 sen, saham Catcha Digital didagangkan pada kira-kira lapan kali ganda pendapatan terlaras bagi tempoh 12 bulan terdahulu.








