Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang budak lelaki berusia tiga tahun dan dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh dan sembilan tahun, ditemui maut dalam peti sejuk di rumah mereka di Nnewi, Anambra, Nigeria.
Ibu mereka, Chikazor Ogochukwu Ejezie, berkata dia meninggalkan anak-anaknya di rumah untuk menghadiri peperiksaan di Ihiala. Namun, apabila pulang, dia mendapati pintu rumah terbuka dan anak-anaknya tiada.
“Saya sangka mereka sedang bermain dan akan pulang. Tetapi bila hari semakin petang dan mereka masih tidak muncul, saya mula risau dan meminta pertolongan jiran,” katanya.
Chikazor cuba bertanya kepada isteri rakan suaminya, yang anak-anaknya sering ke gereja bersama anak-anaknya. Namun, wanita itu berkata anak-anaknya tidak menghadiri kelas katekismus pada hari kejadian.
Seorang jiran memaklumkan dia melihat dua pemuda datang ke kawasan rumah mereka pada hari kejadian. Dia juga melihat anak perempuan Chikazor keluar membeli sesuatu sebelum masuk semula ke rumah.
Ditemui dalam peti sejuk

Selepas pencarian dilakukan, mereka akhirnya menemui ketiga-tiga kanak-kanak itu di dalam peti sejuk di rumah mereka.
Bapa mangsa, Samuel Ejezie, berkata perkara ini mencurigakan kerana kebiasaannya anak-anak mereka akan berlari menyambut kepulangan ibu mereka. Tetapi pada hari kejadian, rumah terbuka luas dengan kasut anak-anaknya berselerak di lantai.
“Hanya kami dan ibu tuan rumah tinggal di kawasan ini, tetapi dia tiada di rumah semasa kejadian. Penyewa lain ialah pelajar jururawat, tetapi saya yakin mereka tidak terlibat kerana kami tiada sebarang masalah dengan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, masih tidak jelas bagaimana kanak-kanak itu boleh berada dalam peti sejuk atau siapa yang meletakkan mereka di situ. Tiada saksi yang tampil memberi keterangan.
Polis Anambra mengesahkan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beberapa minggu lalu, tiga kanak-kanak lain juga ditemui maut dalam sebuah kereta yang diparkir di Nise, Anambra. – Agensi








