Sebanyak 27 buah rumah milik penduduk di Kampung Cina, Gok Kapur di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku hari ini, melibatkan kira-kira 130 keluarga.
Memetik laporan Utusan, Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zazuki Shafei berkata, daripada 45 buah rumah yang terdapat di kawasan tersebut, sebanyak 27 rumah tidak dapat diselamatkan manakala 18 lagi berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba.
Beliau berkata, kebakaran itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. Sebelum ini, laporan awal memaklumkan hanya 10 buah rumah terlibat sebelum jumlah sebenar disahkan meningkat kepada 27 buah rumah.
Baca juga:
- ‘256 warga asing Network School Forest City guna Pas Lawatan Sosial’ – KP Imigresen
- ‘Suami saya bukan penjenayah!’- Wanita Orang Asli dakwa suami ditahan
- Kes hak cipta plat MADANI: Mahkamah arah JPJ bayar RM40,000 kepada Hasan Azhari
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang, Datuk Dr. Izani Husin memaklumkan bahawa pihaknya akan membuka Tabung Kecemasan Kebakaran Gok Kapur dalam masa terdekat bagi membantu mangsa yang terjejas.
Menurutnya, beliau turut meninjau lokasi kejadian dan bertemu mangsa yang kehilangan tempat tinggal serta harta benda akibat kebakaran tersebut. Beliau menyeru orang ramai yang berkemampuan untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mangsa yang terlibat.








