Seorang wanita Jepun yang sangat berjimat dalam perbelanjaan setiap hari, telah berjaya mencapai matlamatnya untuk memiliki tiga buah rumah dalam masa kurang daripada 15 tahun.
Ketika berusia 19 tahun, Saki Tamogami, berimpian untuk memiliki tiga buah rumah apabila menjelang usia 34 tahun. Tanpa berlengah, dia terus bertindak mengikut perancangannya, walaupun terpaksa mengorbankan beberapa perkara.
Pada tahun 2019, Saki muncul dalam satu rancangan TV Jepun yang menyiarkan kisah hidupnya yang sangat berjimat. Setiap hari, Saki hanya menghabiskan 200 yen (RM7) untuk makan dan memasak semua hidangannya di rumah. Menu hariannya seperti roti bakar, mi udon dan lobak yang dibeli dengan harga diskaun.
Saki biasanya hanya membelanjakan wang kurang daripada 50 yen (RM1.80) untuk setiap hidangan, Adakalanya dia hanya sekadar menambah jem pada roti atau sepotong salmon sebagai ‘ganjaran’ untuk dirinya sendiri.
Selain itu, Saki juga tidak membeli peralatan makan tambahan. Sebaliknya dia makan terus dari periuk bagi mengurangkan kos membeli cecair pencuci pinggan dan mangkuk.
Difahamkan, Saki bekerja dalam bidang hartanah selepas tamat pengajian universiti. Sebahagian besar gajinya akan disimpan dan moto hidupnya adalah, “Jangan beli apa-apa tanpa diskaun”.
Pada usia 27 tahun, Saki akhirnya berjaya membeli tiga buah rumah. Rumah pertamanya terletak di Saitama, Tokyo dengan harga 10 juta yen (RM360,000). Dua tahun kemudian, dia berjaya membeli rumah kedua dengan harga 18 juta yen (RM650,000). Menjelang ulang tahunnya yang ke-35, Saki membeli rumah ketiga dengan harga 37 juta yen (RM1.3 juta).
Selamatkan kucing
Saki memilih gaya hidup berjimat kerana dia mahu menyelamatkan kucing jalanan. Pada ketika ini, Saki mengendalikan kafe kucing iaitu Cafe Yuunagi, di tingkat bawah rumahnya yang ketiga.
Walaupun kafe kucing tidak begitu menjana keuntungan yang banyak, Saki masih mempunyai pendapatan lain iaitu daripada dua buah rumahnya yang disewakan.
Saki masih bekerja dalam bidang hartanah dan hidup berjimat. Bagi Saki, seseorang itu boleh berlanja tetap biarlah wang itu dihabiskan pada perkara yang disukai.