Zahid Hamidi cabar Isham Jalil datang mesyuarat MKT UMNO malam ini, kalau berani - The Reporter

Zahid Hamidi cabar Isham Jalil datang mesyuarat MKT UMNO malam ini, kalau berani

Baru-baru ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, mengeluarkan kenyataan bahawa Ahmad Samsuri Mokhtar yang menang di PRK Kemaman Sabtu lalu, boleh menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun perkara itu hanya boleh berlaku sekiranya PAS berjaya menyakinkan UMNO semula untuk bermuafakat dan sekali gus menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Isham turut mendedahkan sikap segelintir individu dalam UMNO yang berlebihan mempertahankan DAP, menjadi punca BN tewas di PRK Kemaman.

Kenyataan Isham mengundang perhatian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kemudian mencabar Isham hadir ke masyuarat yang akan diadakan pada malam ini.

“Saya harap malam ini Isham Jalil di mesyuarat MKT kalau ada pendapat lain beliau boleh suarakan. Setakat ini beliau tidak datang mesyuarat MKT sudah tiga kali.

“Mudah-mudahan beliau mempunyai keberanian untuk datang malam ini, suarakan pendapat yang beliau sanggah sendiri apabila kita jalin kerjasama dengan Pakatan Harapan bagi bentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Isham bagaimanapun memaklumkan beliau tidak akan hadir ke mesyuarat berkenaan sebagai tanda proses. Sebaliknya Isham mencabar Zahid berdebat dengannya.

“Saya akan protes dan tidak akan hadir… saya sudah boleh baca apa yang dia akan buat. Buat apa saya ikut kemahuan dia dan datang tadah muka di lubuknya.

“Kalau dia ikhlas, mungkin presiden boleh tunaikan cabarannya untuk berdebat dengan saya sebelum ini di gelanggang yang neutral. Kalau dia berani,” katanya.

Selain itu, Isham meminta Zahid sedar bahawa UMNO telah ditolak oleh orang Melayu dan akan hancur dalam beberapa tahun lagi kerana menjalinkan kerjasama dengan DAP.

“Jika Datuk Seri letak jawatan, saya pun akan letak jawatan. Kita sama-sama berkorban asalkan parti keramat ini dapat diselamatkan selagi ada masa,” katanya.

Sumber: Malaysia Gazette

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!