Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN memutuskan untuk memberi cuti sementara kepada Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar, selepas beliau memohon mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas MPP mendengar pandangan Nurul Izzah serta pimpinan parti dalam mesyuarat yang diadakan.
Menurut beliau, cuti sementara itu akan berkuat kuasa selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
“MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara kepada Sdri Nurul Izzah bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumum,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Susulan keputusan itu, MPP memutuskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang merupakan Naib Presiden parti akan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.
Dalam mesyuarat sama, MPP turut bersetuju melantik Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya KEADILAN bagi menggalas sepenuhnya tanggungjawab tersebut.
Fahmi turut memaklumkan bahawa Nurul Izzah akan merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN pada 14 Ogos sempena Kongres Nasional 2026.
Baca juga:
- Nurul Izzah diberi cuti sementara sebagai Timbalan Presiden PKR
- 16 Ogos penentu sama ada DAP kekal atau tidak dalam kerajaan
- Puad dakwa kenyataan Annuar Musa angkuh soal peranan PN
Selain itu, MPP memaklumkan parti menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, di samping merakamkan penghargaan kepada semua petugas pilihan raya serta mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Aminuddin Harun atas perkhidmatan beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sepanjang dua penggal.
Dalam perkembangan lain, MPP turut meluluskan kemasukan 3,533 anggota baharu bagi tempoh 12 Julai hingga Ogos 2026 yang mendaftar secara dalam talian.









