UMNO tak boleh solo, Zahid gesa kekal pakatan dengan PH demi kekuatan politik | The Reporter

UMNO tak boleh solo, Zahid gesa kekal pakatan dengan PH demi kekuatan politik

Ahmad Zahid Hamidi tersenyum bersama pemimpin UMNO lain dalam majlis perasmian mesyuarat UMNO Gopeng
Ahmad Zahid Hamidi menyeru kerjasama BN dan PH diteruskan demi memastikan kemenangan politik yang lebih kukuh.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Barisan Nasional (BN) menyuarakan keyakinan tinggi bahawa kerjasama politik bersama Pakatan Harapan (PH) menjadi faktor utama yang perlu diperkukuh bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang terus terpelihara.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keberhasilan gabungan itu bukan sekadar teori, malah telah dibuktikan menerusi dua Pilihan Raya Kecil (PRK) terakhir di Mahkota, Johor dan Ayer Kuning, Perak.

Menurutnya, pencapaian luar biasa di kedua-dua kerusi memberi isyarat jelas bahawa pendekatan berganding tenaga lebih relevan berbanding bergerak secara sendirian.

“Sebagai contoh, DUN Mahkota mencatat majoriti 5,166 undi pada PRU15, tetapi dengan sokongan rakan-rakan dalam PH, kita melonjakkan majoriti kepada 20,648 undi pada PRK lalu. Sama juga di Ayer Kuning, majoriti naik daripada 2,213 kepada 5,006 undi,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gopeng, hari ini.

Baca juga:

Apakah strategi seterusnya untuk kekal relevan?

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, mengingatkan barisan kepimpinan dan ahli akar umbi agar terus menjadikan kerjasama ini sebagai strategi asas dalam perancangan parti.

“Ini bukan masa untuk bersikap angkuh dan merasakan kita boleh menang sendirian. Kalau kita mahu kembali dominan, inilah jalannya,” tegasnya.

Gambar hiasan | Kredit gambar: Harian Metro

Dalam pada itu, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, menjelaskan tumpuan parti negeri adalah memperkukuh sokongan di kalangan pengundi yang tidak berdaftar sebagai ahli UMNO, khususnya masyarakat Melayu.

Beliau percaya pendekatan inklusif itu mampu menjadi aset penting untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kita tidak hanya bergantung kepada ahli parti. Keutamaan kita ialah memastikan UMNO terus diyakini sebagai wadah mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu,” katanya.

Sumber: Bernama

Related Posts