Baru-baru ini tular video yang menunjukkan seorang lelaki warga emas menerima pemberian wang berjumlah Rp5 juta (RM1.3K) daripada seorang pencipta kandungan.
Perbuatan YouTuber berkenaan yang dikenali sebagai Fermon Malika, mengundang rasa terharu di kalangan netizen, tanpa mengetahui video itu sebenarnya hanyalah konten semata-mata.
Dalam satu video pengakuan, warga emas berkenaan menjelaskan dia sebenarnya tidak menerima wang Rp5 juta (RM1.3K). Sebaliknya dia hanya menerima sebahagian kecil iaitu, Rp200 ribu (RM55) sahaja.
Berang dengan pembohongan itu, netizen mula menyerang Fermon di saluran YouTube-nya.
“Kata bagi Rp5 juta (RM1.3K). Tapi hanya Rp200 ribu (RM55) saja yang diberi. Ertinya konten yang dibuat ini tipu la ye?!” kata netizen.
Menyedari ramai netizen mula mengecam dan menyumpah di ruangan komen, Fermon tampil memberi penjelasan. Tiada sebarang permohonan maaf dilakukan, tetapi hanya untuk mempertahankan dirinya.
“Sebelum saya membuat konten itu, saya dah berbincang dengan datuk tersebut apakah dia sudi atau tidak diajak buat konten bersama. Datuk tu setuju dan saya tidak pernah memaksa orang untuk buat konten bersama saya.
“Mungkin orang yang suka membuat andaian di luar sana, otak atau permikirannya kecil,” katanya.
Tidak berpuas hati dengan penjelasannya itu, netizen meminta orang ramai melaporkan akaun YouTube Fermon, MonferOfficial, agar hilang terus dari platform tersebut.
“Report sampai hilang akaun dia ni. Bukan masalah orang tak hargai konten dia, tetapi dia yang menipu orang. Konon bagi Rp5 juta, tetapi sebenarnya bagi Rp200 ribu saja. Itu menipu namanya, bukan soal warga emas tu setuju atau tidak nak buat konten dengan dia,” kata netizen.
“Tak ada rasa bersalah langsung, seronok menipu penonton dan dapat keuntungan dari hasil membuat konten palsu,” tambah netizen lain. – Agensi