YDP, Naib YDP Muafakat MRSM Sungai Besar saman Rita Rudaini | The Reporter

YDP, Naib YDP Muafakat MRSM Sungai Besar saman Rita Rudaini

Gambar Mohd Roslan Mohd Nor dan Saidah Haris @ Harith, pimpinan MUAFAKAT MRSM Sungai Besar, yang memfailkan saman fitnah terhadap pelakon Rita Rudaini.
Gambar: Utusan Malaysia

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Dua tokoh akademik yang juga pimpinan MUAFAKAT Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakon terkenal, Rita Rudaini, selepas dakwaan fitnah terhadap mereka berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Sungai Besar, Mohd Roslan Mohd Nor, dan timbalannya, Saidah Haris @ Harith, memfailkan saman itu melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates pada 6 Disember lalu, selepas notis tuntutan RM1 juta yang dihantar pada 15 Oktober tidak dipatuhi.

Peguam yang mewakili kedua-dua plaintif, Datuk Adnan Seman, berkata tindakan saman difailkan selepas Rita, atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, didakwa memuat naik beberapa kenyataan berunsur fitnah di Instagram, WhatsApp dan platform lain.

Antara tuduhan yang dipersoalkan ialah dakwaan kononnya kedua-dua plaintif bersikap bongkak, narsis, tidak profesional, ‘prof kangkung’, gila jawatan, penipu serta tidak layak memegang jawatan dalam MUAFAKAT, selain dakwaan salah urus wang ibu bapa.

Baca juga:

Adnan berkata kenyataan tersebut turut mencetuskan penerbitan sebuah artikel akhbar yang memetik dakwaan mengenai kepincangan pentadbiran MUAFAKAT MRSM.

“Kenyataan itu memberi kesan besar kepada reputasi plaintif memandangkan jumlah pengikut defendan yang tinggi. Mereka percaya defendan bertindak secara semberono tanpa semakan dan mempunyai unsur niat jahat,” katanya.

Sehubungan itu, plaintif menuntut perintah injunksi, pemadaman semua kenyataan fitnah, permohonan maaf dalam bentuk video selama tiga bulan, serta ganti rugi am, teruk, pengajaran dan faedah lima peratus setahun.

Kes berkenaan dibawa ke mahkamah selepas Rita gagal memadam kenyataan, tidak memohon maaf dan tidak membayar ganti rugi RM1 juta seperti dituntut dalam notis asal.

Sumber: Utusan, Kosmo

Related Posts