Yasin Sulaiman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan | The Reporter

Yasin Sulaiman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan

Yasin Sulaiman dilepas dan dibebaskan
Yasin dilepas dan dibebaskan atas tiga pertuduhan berkaitan dadah. Gambar: munsyeed.com

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman, daripada tiga pertuduhan dadah yang dikenakan terhadapnya.

Panel tiga hakim diketuai Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir yang difailkan Yasin.

Mahkamah turut memerintahkan Yasin, 50, ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, sehingga diperkenankan Sultan Selangor.

Keputusan itu mengetepikan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini atas kesalahan memiliki dan menanam kanabis serta penggunaan dadah.

Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang sebelum ini melepas dan membebaskan beliau.

Yasin sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, membabitkan kejadian di sebuah kondominium di Kota Damansara pada 24 Mac 2022.

Mengikut pertuduhan, Yasin sebelum ini didakwa atas tiga kesalahan berkaitan dadah. Mengikut pertuduhan pertama, beliau didapati memiliki 193.7 gram kanabis di sebuah kondominium di Kota Damansara pada 24 Mac 2022, didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

Pertuduhan kedua pula menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik di tempat, tarikh dan waktu sama, mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala pertuhan ketiga, beliau didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya pada malam 24 Mac 2022, di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Harian Metro

Related Posts