Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tarikh 16 Mei merupakan Hari Guru yang disambut bagi mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak murid. Hari ini juga merupakan detik yang dinanti-nantikan oleh para pelajar untuk meraikan guru-guru mereka dengan pemberian hadiah serta ucapan penghargaan.
Menerusi video yang dikongsikan oleh ibu bapa di media sosial, pelbagai idea dan bentuk hadiah dikongsikan untuk diberikan kepada guru yang mengajar anak-anak mereka.
Namun, menjadi tumpuan netizen apabila seorang wanita yang memuat naik video kunjungannya ke sebuah kedai peralatan dapur berjenama mewah, Le Creuset, untuk membeli hadiah Hari Guru kepada guru-guru di sekolah anak lelakinya yang kini berusia 11 tahun.
“Ada yang menunggu hadiah Hari Guru versi 2025 ke tu? Ini hadiah Hari Guru 2025 daripada Hafiz Harith untuk semua cikgu-cikgunya.
“Terima kasih kepada staf Le Creuset Mid Valley, Encik Ikhawan, kerana melayan kami dengan baik dan membungkuskan hadiah guru anak saya dengan cantik, siap dengan reben,” katanya.
Wanita yang dikenali sebagai Nurashikin itu sebelum ini pernah tular pada tahun lalu kerana menghadiahkan barangan kemas jenama Habib Jewels kepada guru-guru anaknya.
Menerusi beberapa hantaran di akaun TikTok miliknya, pasangan suami isteri ini juga dilihat sering memberikan hadiah kepada rakan-rakan sekelas anak mereka berupa peralatan sekolah berjenama terkenal.








