Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita di China meninggal dunia selepas dipercayai ‘terjatuh’ dari tingkat 11 hospital, beberapa hari selepas mengalami kesakitan luar biasa akibat kecuaian doktor yang mencabut giginya yang sihat tanpa bius dan kemudian memasangnya semula secara kasar.
Wanita berusia 34 tahun dikenali sebagai Wu dari wilayah Anhui itu terdahulu menjalani prosedur mencabut gigi bongsu di Hospital Perbandaran Anqing pada 12 Mac lalu. Namun menurut keluarganya, doktor tersilap mencabut gigi yang masih elok dan cuba meletakkannya semula dengan mengikat menggunakan dawai bersama beberapa gigi lain — tanpa sebarang anestesia (ubat yang digunakan untuk menghilangkan rasa sakit semasa prosedur perubatan) sepanjang satu jam setengah rawatan.

Wu mengalami bengkak pada muka, tidak mampu makan dan hanya bergantung kepada air selama beberapa hari. Kesakitan itu turut mengganggu tidurnya dan menjejaskan kesihatan mentalnya secara mendalam.
- Lelaki terkejut jumpa kucing kurang upaya di Pulau Talang
- ‘Kenapa awak sentuh saya?!’ – Inspektor Sheila didakwa cetus kekecohan di kedai makan?
- Cemas! Wanita nekad terjun dari kereta, takut dipukul suami
- Pensyarah UIAM dakwa Rom belajar bina kapal dari Melayu berpaksikan sumber Arab klasik
- Warden MRSM Serting maut kemalangan ketika pulang dari bertugas
Doktor terlibat ubah rekod rawatan mangsa
Menurut abangnya, Wu telah membuat aduan berulang kali kepada pihak hospital dan pihak berkuasa, namun tiada tindakan diambil. Dia kemudian memuat naik satu video menangis di media sosial, mendakwa telah ditipu dan dikenakan rawatan yang menyakitkan serta tidak wajar oleh pihak hospital.

Wu turut mendedahkan doktor yang melakukan kecuaian itu pada awalnya meminta maaf, namun kemudian menafikan kesalahan dan didakwa telah mengubah rekod rawatan. Hospital juga dikatakan berulang kali mendesaknya Wu untuk memadam video tersebut.
“Hospital ini buat saya menderita. Mereka tipu saya dari mula sampai akhir. Tiada siapa yang tolong saya. Kalau saya mati, hospital ini penyebabnya,” kata Wu, memetik laporan South China Morning Post.
Pada 17 Mac, Wu kembali ke hospital untuk berbincang semula, namun kemudian dilaporkan ‘terjatuh’ dari bumbung bangunan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Polis memaklumkan tiada unsur jenayah, manakala hospital menawarkan pampasan sebanyak 100,000 yuan (kira-kira RM65,000) kepada keluarga Wu.
Keluarga Wu juga menuntut rakaman CCTV dari kawasan bumbung diserahkan dan mendakwa Wu dalam keadaan sihat fizikal serta mental sebelum semua insiden itu berlaku.
Difahamkan, doktor yang terlibat telah digantung tugas sementara siasatan dijalankan oleh pihak polis dan suruhanjaya kesihatan. Seorang pakar perundangan menyatakan kesilapan mencabut gigi yang salah boleh dikira sebagai kemalangan perubatan yang serius dan hospital boleh dikenakan tindakan undang-undang.








