Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kebiasaannya, ibu bapa berbangsa Cina memilih tadika aliran Cina untuk anak mereka. Namun, keperluan sementara membawa seorang ibu muda ini memilih laluan berbeza apabila menghantar anaknya ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di kampung halamannya.
Perkongsian itu kemudiannya menjadi tumpuan selepas dimuat naik di TikTok dan menerima pelbagai reaksi, termasuk persoalan mengapa seorang ibu berbangsa Cina memilih prasekolah beraliran Islam untuk anaknya.
Perkembangan awal jadi perhatian ramai
Sepanjang kira-kira tiga bulan mengikuti sesi pembelajaran di tadika tersebut, kanak-kanak berkenaan menunjukkan perkembangan positif, termasuk sudah mampu menyebut beberapa perkataan asas Bahasa Melayu, mengenal nombor serta menyanyikan lagu-lagu Melayu, selain kelihatan seronok mengikuti aktiviti harian bersama rakan-rakan.
Perkongsian perkembangan itu menarik perhatian ramai di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk persoalan mengapa seorang ibu bukan Islam memilih prasekolah beraliran Islam untuk anaknya.
Baca juga:
- Anak didakwa bunuh ibu, berdepan hukuman mati
- Rumah Ibadat: Patuhi undang-undang, jangan politikkan isu agama – YDPA
- Sabun tular berasaskan khinzir tidak dipersijilkan halal JAKIM
Kenapa pilih PASTI?
Menjawab persoalan tersebut, ibu kanak-kanak itu, Zhu Er Chan, menjelaskan keputusan menghantar anaknya ke PASTI dibuat atas faktor keperluan sementara dan kesesuaian lokasi ketika beliau pulang ke kampung halaman di Cha’ah, Segamat.
“Bulan November tahun lalu, saya balik dari Perak ke Johor kerana ada urusan rumah. Kangkang dah dua tahun setengah, jadi saya cari tadika untuk dia tumpang belajar sementara. Tadika PASTI ini dekat dan cikgu-cikgunya sangat baik,” tulisnya dalam satu hantaran di TikTok.
Beliau turut menyatakan pendedahan kepada budaya berbeza sebagai nilai tambah kepada perkembangan anaknya.
“Saya rasa bagus kalau anak saya boleh belajar budaya lain. Kita satu Malaysia, kan?” ujarnya lagi.

Majoriti reaksi bersifat positif
Walaupun menerima beberapa mesej peribadi yang mempertikaikan pilihannya, Zhu Er Chan memaklumkan beliau memilih untuk tidak melayan kritikan tersebut. Sebaliknya, sokongan dan komen positif daripada orang ramai jauh lebih banyak diterima, khususnya yang memuji sikap terbukanya dalam soal pendidikan anak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada netizen yang meninggalkan kata-kata baik dan menyatakan semua maklum balas tersebut dibaca walaupun tidak sempat dibalas satu persatu.
Sumber: TikTok @joeychan427








