Wanita China dipenjara sebulan, denda RM2,000 kerana cederakan pegawai Imigresen di KLIA | The Reporter

Wanita China dipenjara sebulan, denda RM2,000 kerana cederakan pegawai Imigresen di KLIA

Wanita warga China dalam pakaian hitam digari dan dikawal polis wanita selepas dijatuhi hukuman di mahkamah.
Wanita warga China yang mencederakan pegawai Imigresen di KLIA dibawa ke mahkamah dan digari, sebelum dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000. | Kredit gambar: Harian Metro

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang wanita warga China dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang pegawai imigresen wanita ketika di kaunter pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu.

Tertuduh, Fang Fuyuan, 31, mengaku bersalah di hadapan Majistret Khairatul Anima Jelani selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin. Sekiranya gagal membayar denda, Fang akan dipenjara tambahan dua bulan. Hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 13 Ogos lalu.

Tolak kepala ke tiang selepas diminta beralih

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam pada 13 Ogos lalu di Kaunter Imigresen, Aras 4, Balai Pelepasan KLIA1. Ketika itu, mangsa, Nurdiana Atirah Shapinaz Abdul Rahman, sedang bertugas dan telah meminta tertuduh dan keluarganya beralih ke tepi kerana tiada rekod kemasukan ke negara ini serta bagi memberi laluan kepada penumpang lain.

Baca juga:

Namun, tertuduh bertindak agresif dengan meninggikan suara, menarik tudung pegawai itu, serta menolak muka dan kepala mangsa ke arah tiang berdekatan kaunter.

Mangsa mengalami gegaran kepala, kecederaan pada bahagian kiri muka, serta pedih dan bengkak di bawah mata. Pemeriksaan perubatan kemudian mengesahkan wujud kecederaan tisu lembut di bahagian kanan kepala. Fang ditahan kira-kira sejam selepas kejadian oleh sepasukan polis di Aras 5, KLIA1.

Peguam dakwa berlaku salah faham, pendakwa mohon hukuman setimpal

Peguam bela tertuduh, Tai Ying Fung dan Jason Anthony, memohon hukuman diringankan dengan alasan Fang menyesal, memberi kerjasama penuh semasa siasatan dan mempunyai dua anak kecil yang bergantung kepadanya sepenuhnya.

“Ini berpunca daripada salah faham dan masalah komunikasi. Tertuduh masih muda, tiada rekod jenayah dan telah direman selama lima hari,” kata peguam.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Luvithaa Veerasamy memohon hukuman setimpal demi kepentingan awam, memandangkan pegawai yang dicederakan adalah penjawat awam yang sedang bertugas.

“Mahkamah perlu beri isyarat jelas bahawa tindakan agresif terhadap penjawat awam tidak boleh diterima oleh masyarakat,” katanya.

Fang yang hadir dengan pakaian serba hitam kelihatan tenang dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia memahami keputusan yang dijatuhkan.

Sumber: Harian Metro

Related Posts