Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta, terdapat beberapa perkara asas yang perlu diambil kira bagi memastikan kewangan tidak terbeban. Antaranya adalah kemampuan sebenar untuk membayar ansuran bulanan, kos tambahan seperti penyelenggaraan dan insurans, serta nilai susut harga kereta dalam jangka masa panjang. Perancangan yang teliti sangat penting untuk mengelakkan masalah kewangan di kemudian hari.
Baru-baru ini, seorang wanita berusia 29 tahun yang berpendapatan kasar RM4,300 sebulan meluahkan rasa kesal di media sosial selepas membeli sebuah kereta Honda City, yang kini memberi tekanan besar kepada kewangannya.

Dalam hantaran tersebut, dia mengakui telah membuat keputusan terburu-buru dan kini masih bergelut untuk menstabilkan kewangan kerana tidak mempunyai simpanan yang mencukupi.
Wanita itu berkongsi bahawa keputusannya dahulu memberi kesan besar terhadap keadaan Keputusan membeli kereta dengan komitmen yang tinggi menyebabkan dia sukar menguruskan perbelanjaan bulanan. Luahan tersebut menarik perhatian ramai pengguna media sosial.
Banyak kos tersembunyi
Isu ini turut mendapat respons daripada seorang pakar kewangan, Ammar Faris Hasim, yang mempunyai lebih 14,400 pengikut di platform X. Beliau sering memberikan nasihat kewangan kepada soalan-soalan daripada pengikutnya, terutamanya yang melibatkan komitmen besar seperti pembelian kereta.
Ammar menegaskan, membeli kereta bukan sekadar membayar ansuran bulanan, tetapi perlu mengambil kira kos tersembunyi seperti:
- Petrol
- Insurans dan cukai jalan
- Parking
- Tol
- Servis penyelenggaraan berkala
- Pembiayaan pembaikan kecemasan
Menurut Ammar, ramai individu tersilap percaturan kerana hanya melihat jumlah ansuran bulanan tanpa mengambil kira perbelanjaan tambahan ini, yang akhirnya membebankan kewangan.
Formula kewangan untuk pembelian kereta
Beberapa formula penting yang boleh dijadikan panduan sebelum membuat keputusan membeli kereta:
- Peraturan Gaji Tahunan Emas Harga maksimum kereta yang mampu dimiliki adalah bersamaan atau kurang daripada jumlah gaji tahunan seseorang. Contoh:
- Gaji: RM3,000 sebulan
- Gaji tahunan: RM3,000 x 12 = RM36,000
- Sasaran kereta: Dalam lingkungan RM36,000
- Peraturan Bayaran Bulanan 15% Bayaran ansuran bulanan kereta tidak boleh melebihi 15% daripada gaji bulanan. Contoh:
- Gaji: RM3,000
- 15% daripada gaji: RM450
- Strategi Bayaran Pendahuluan Bayaran pendahuluan disarankan sebanyak 20% daripada harga kereta, manakala 30% adalah lebih baik jika mampu.
Kereta sesuai mengikut gaji
Ammar turut mencadangkan beberapa pilihan kereta yang lebih sesuai berdasarkan pendapatan individu:
- Gaji RM3,000 sebulan: Perodua Axia, Proton Saga, atau kereta terpakai seperti Myvi (4-5 tahun).
- Gaji RM5,000 sebulan: Perodua Myvi, Proton Saga, Perodua Bezza, atau Honda City (terpakai).
- Gaji RM7,000 sebulan: Honda City, Toyota Vios, Proton X50 atau Nissan Almera.
Nilai kereta terpakai
Kereta terpakai sering menjadi pilihan yang lebih bijak kerana nilai susut harganya yang lebih rendah berbanding kereta baharu. Dalam tempoh 2-3 tahun, harga kereta baharu boleh jatuh sehingga 20%-30% bergantung kepada jenama.
Kes ini menjadi peringatan kepada individu yang merancang untuk membeli kereta agar lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kewangan. Tanpa perancangan rapi, komitmen besar seperti pembelian kereta boleh menjadi beban kewangan yang sukar ditanggung dan memberi kesan jangka panjang terhadap kestabilan kewangan.
Sumber: Ammar Faris Hasim