Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Suasana tenang sebuah wacana ilmiah bertukar tegang apabila Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, ‘diserang’ oleh sekumpulan individu ketika sedang menyampaikan ucaptama, hari ini.
Insiden mengejut itu berlaku dalam Program Wacana Ilmiah Perdana di World Trade Centre Kuala Lumpur apabila tiga lelaki dipercayai daripada NGO Mandiri tiba-tiba bangkit dan mengganggu perjalanan majlis.
Mereka dilihat membawa plakad bertulis provokatif sambil berlegar-legar di dalam dewan dan menunjukkannya kepada para hadirin, sekali gus mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peserta yang hadir.
Menerusi video yang disiarkan Malaysia Gazzette, keadaan menjadi semakin panas apabila salah seorang daripada mereka bertindak melaungkan slogan provokatif berbunyi ‘Hipokrasi Anwar Ibrahim’.
Baca juga:
- Pejabat Menteri nafi dakwaan palsu Mohamad Sabu galak penjawat awam tanam ganja
- Langgar lari polis trafik: Inspektor ditahan, sedang jalani rawatan kesihatan
- Jabatan Penjara siasat video tular tahanan reman lolos di Penjara Sungai Buloh
Tindakan itu mencetuskan kekecohan seketika. Bagaimanapun, pegawai keselamatan dan pihak penganjur bertindak pantas menghalang kumpulan berkenaan sebelum mengiringi mereka keluar dari Dewan Tun Dr Ismail.
Seorang lagi individu turut melakukan aksi sama di bahagian belakang dewan, menambah ketegangan suasana sebelum akhirnya dihalau keluar oleh polis bantuan.
Walaupun berdepan gangguan yang boleh menggugat kelancaran program, Azam Baki kekal tenang dan profesional. Beliau memilih untuk tidak menghentikan ucapan, sebaliknya meneruskan pembentangan seperti biasa sambil menyifatkan insiden tersebut sebagai gangguan biasa.








