Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
China kini dilanda wabak virus misteri yang menyebabkan hospital sesak dengan pesakit. Video di media sosial menunjukkan ramai pesakit memakai pelitup muka memenuhi hospital, termasuk ibu bapa yang beratur panjang bersama anak-anak mereka di unit pediatrik.
Laporan tidak rasmi mendakwa krematorium (pusat pembakaran mayat) dan rumah pengebumian turut sesak, mencetuskan kebimbangan yang mengingatkan orang ramai pada permulaan wabak Covid-19.
Punca wabak masih tidak jelas
Media tempatan melaporkan virus human metapneumovirus (HMPV) sebagai punca utama, tetapi pihak berkuasa masih belum mengesahkan maklumat ini. Difahamkan virus ini biasanya hanya menyebabkan selesema ringan.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CDC) melaporkan, influenza menjadi punca utama dengan 30% ujian menunjukkan keputusan positif. Selain itu, satu daripada tujuh pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana masalah pernafasan serius disahkan menghidap influenza.
Kadar kes semakin meningkat
Laporan CDC menyatakan lawatan ke hospital kerana penyakit mirip selesema meningkat kepada 7.2% di kawasan utara China pada minggu berakhir 29 Disember, naik 12% berbanding minggu sebelumnya. Di kawasan selatan, kadar ini mencapai 5.7%, meningkat 21%.
Suasana tegang di hospital
Video yang tersebar menunjukkan hospital di wilayah Hunan dan beberapa kawasan lain sesak. Seorang penduduk di Hunan, dikenali sebagai Encik Peng, berkata ramai jatuh sakit di kawasannya.
“Ramai yang demam, dan minggu ini sahaja, tujuh atau lapan orang meninggal dunia, termasuk warga emas,” katanya.
Seorang pengarah krematorium, dikenali sebagai Cik Wang, juga mengesahkan tempatnya kini dipenuhi dengan permintaan.
“Krematorium sibuk seperti pasar Tahun Baharu,” katanya.
Nasihat untuk berhati-hati
Seorang blogger, ‘Please Fei Ge’, berkongsi pengalamannya jatuh sakit selepas menghadiri acara di Guangzhou. Beliau dan isterinya mengalami demam, sakit kepala, dan sakit badan.
“Rasanya sama seperti dahulu ketika saya dijangkiti. Jika keluar ke tempat ramai, pastikan anda pakai pelitup muka,” katanya.
Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai untuk berjaga-jaga kerana peningkatan penyakit mirip selesema dijangka terus berlaku. – Agensi








