Peras RM50 dari pengunjung hospital, pengawal keselamatan direman dua hari | The Reporter

Peras RM50 dari pengunjung hospital, pengawal keselamatan direman dua hari

Pengawal keselamatan wanita didakwa peras RM50 dari pengunjung hospital dirakam dalam video tular
Rakaman memaparkan pengawal keselamatan wanita didakwa ambil RM50 dari pengunjung hospital kini menjadi bukti siasatan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang pengawal keselamatan wanita berusia 28 tahun ditahan polis selepas tular rakaman video yang menunjukkan dia didakwa memeras wang RM50 daripada seorang pengunjung di sebuah hospital di Selangor.

Baca berita berkaitan:

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian itu sebenarnya berlaku sekitar jam 4 petang pada 23 Disember 2024, namun hanya dilaporkan kepada polis oleh pengadu pada jam 11.27 malam semalam selepas video berkenaan mula tersebar.

Menurutnya, video berdurasi 55 saat itu menunjukkan seorang wanita meminta pengawal keselamatan terbabit memulangkan wang RM50 milik ibunya yang didakwa diambil secara tidak sah ketika meletakkan kenderaan di kawasan larangan.

Video tersebut turut mencetuskan kemarahan netizen yang mengecam tindakan pengawal keselamatan itu yang jelas mengambil kesempatan dan mengugut pengunjung dengan kata-kata kasar sekiranya tidak membayarnya.

“Bertindak atas laporan yang diterima, polis telah menahan suspek semalam untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro, Selasa, 20 Mei 2025.

Suspek itu direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kes itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan.

Related Posts