Universiti India dikecam, dakwa robot China sebagai ciptaan sendiri | The Reporter

Universiti India dikecam, dakwa robot China sebagai ciptaan sendiri

Kontroversi sidang AI India libatkan robot anjing teknologi yang didakwa sebagai ciptaan universiti tempatan.
Isu robot China di sidang AI India jadi perhatian selepas dakwaan ciptaan universiti dipersoalkan netizen.

Sebuah universiti di India berdepan kecaman hebat selepas seorang pensyarahnya didapati mempersembahkan seekor robot anjing buatan China sebagai hasil ciptaan institusi sendiri dalam satu sidang kemuncak kecerdasan buatan (AI) antarabangsa.

Dalam satu temu bual bersama stesen televisyen milik kerajaan, DD News, pensyarah komunikasi, Neha Singh, memperkenalkan robot itu sebagai “Orion” yang kononnya dibangunkan oleh Pusat Kecemerlangan Universiti Galgotias.

Namun, pengguna media sosial pantas mengenal pasti robot tersebut sebagai Unitree Go2, produk keluaran syarikat China, Unitree Robotics, yang dijual sekitar AS$2,800 dan digunakan secara meluas dalam bidang penyelidikan serta pendidikan.

Pendedahan itu mencetuskan kritikan meluas, sekali gus mencalar reputasi universiti berkenaan serta usaha India untuk muncul sebagai pemain utama dalam bidang AI.

Baca juga:

Tular di media sosial, Menteri turut terpalit

Kontroversi ini semakin memuncak apabila Menteri Elektronik dan Teknologi Maklumat India, Ashwini Vaishnaw, berkongsi klip video tersebut di akaun media sosial rasminya sebelum dipadam susulan bantahan orang ramai.

Susulan itu, pihak Universiti Galgotias dan Neha Singh mengakui bahawa robot itu bukan hasil ciptaan mereka dan universiti tidak pernah mendakwa sebaliknya.

Dalam satu kenyataan di platform X, universiti itu menegaskan mereka tidak membangunkan robot berkenaan, sebaliknya fokus membina bakat dan minda yang mampu mencipta teknologi seumpamanya pada masa depan.

Walaupun berdepan dakwaan salah nyata dan plagiat, gerai universiti itu masih beroperasi di sidang kemuncak berkenaan, dengan pegawai universiti memberi penjelasan kepada media. Wakil universiti turut memaklumkan bahawa mereka belum menerima sebarang notis rasmi berhubung penyingkiran daripada acara tersebut.

Pembangkang serang kerajaan

Insiden itu turut menjadi bahan serangan politik apabila Parti Kongres Kebangsaan India menyifatkan kejadian tersebut sebagai memalukan negara di peringkat antarabangsa.

Mereka mendakwa kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi menjadikan India bahan jenaka dunia kerana mempamerkan produk China sebagai hasil tempatan dalam sidang kemuncak AI.

Sidang Kemuncak Impak AI India yang berlangsung selama lima hari itu menghimpunkan hampir 20 pemimpin dunia dan puluhan delegasi antarabangsa. Antara tokoh yang dijadual berucap termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai, Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman dan Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic, Dario Amodei.

Namun, penganjuran acara tersebut turut berdepan masalah logistik termasuk kesesakan dan pengurusan peserta yang lemah.

Sumber: Al Jazeera

Related Posts