Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, menolak pelawaan penyatuan yang disuarakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, sambil mengingatkan bahawa keikhlasan merupakan asas penting dalam usaha menyatukan bangsa Melayu dan memperjuangkan agama serta negara.
Dalam satu kenyataan tegas, Dr. Akmal menyifatkan pelawaan tersebut sebagai tidak konsisten dengan tindakan Tun Dr. Mahathir sewaktu beliau berada di tampuk kuasa.
“Orang yang sama juga pernah mahu mengharamkan UMNO ketika memegang kuasa. Kini bila tiada kuasa, gayanya berubah. Terima kasih Tun atas pelawaan itu, namun kami masih tidak lupa apa yang telah berlaku,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa perjuangan untuk menyatukan bangsa Melayu tidak sepatutnya didorong oleh kepentingan peribadi atau keinginan untuk mendapatkan jawatan, sebaliknya harus datang daripada keikhlasan demi agama, bangsa, dan tanah air.
“Nak bersatu bangsa ini, biarlah datang dari hati yang ikhlas kerana sayangkan agama dan bangsa, bukan hanya semata-mata ingin mendapatkan jawatan untuk diri sendiri,” tambah beliau lagi.
Kenyataan Dr. Akmal hadir selepas kenyataan Tun Dr. Mahathir yang mengajak semua pihak termasuk UMNO untuk menyertai Sekretariat Orang Melayu.








