Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa UMNO kini telah menyimpang jauh daripada perjuangan asal parti itu yang diasaskan untuk mempertahankan kemerdekaan dan maruah bangsa Melayu.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Tun Dr Mahathir menegaskan bahawa tindakan UMNO menyokong perjanjian yang dikatakan meletakkan Malaysia di bawah pengaruh Amerika Syarikat merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap perjuangan nenek moyang terdahulu.
“Kamu sudah khianati perjuangan ibu bapa dan datuk nenek kamu untuk kemerdekaan Tanah Melayu. Hari ini kamu sokong tindakan menghapuskan kemerdekaan yang mereka perjuang dahulu apabila mempersetujui perjanjian meletak negara tercinta ini di bawah kuasa Amerika Syarikat,” tegasnya.
Mahathir turut mengkritik kepimpinan UMNO yang disifatkan mementingkan kepentingan diri berbanding bangsa dan negara, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai satu penggadaian terhadap masa depan generasi akan datang.
“Kamu utamakan kepentingan diri kamu dan gadai tanah air. Anak cucu kamu akan kutuk perbuatan kamu,” ujarnya lagi.
Baca juga:
- Imigresen serbu restoran popular, 101 pekerja asing ditahan kerana kerja tanpa permit
- Lelaki maut dalam kebakaran unit kondominium di Mont Kiara
- ‘Saya rayu PMX jangan iktiraf UEC’ – Akmal Saleh
Beliau mendakwa, melalui perjanjian yang dimaksudkan itu, Malaysia bukan sahaja bersetuju membeli barangan dari Amerika Syarikat bernilai hampir RM1 trilion, malah turut terikat untuk menyokong dasar luar negara kuasa besar itu.
“Kamu juga setuju merujuk kepada A.S. segala tindakan dan dasar hubungan Malaysia dengan negara lain supaya tidak bertentangan dengan dasar dan tindakan A.S. Keberanian Malaysia sudah tidak ada lagi. Segala-galanya ditentu oleh A.S.,” katanya.
Dalam kenyataannya itu, Mahathir turut menegaskan bahawa UMNO kini sudah tidak lagi memperjuangkan bangsa, agama, dan negara seperti yang diharapkan rakyat.
“UMNO sudah jadi pengkhianat kepada bangsa Melayu. UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, negara dan agama. Bagi ahli dan wakil rakyat UMNO, perjuangan hanyalah untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.








