Perkhabaran duka menyelubungi masyarakat dunia ketika ini apabila peserta Global Sumud Flotilla (GSF) dari pelbagai negara ditahan oleh pihak Zionis.
Gelombang kebangkitan tercetus apabila masyarakat dunia mula mengadakan protes dan demonstrasi mengkritik tindakan negara haram berkenaan. Malaysia tidak terkecuali bangkit membawa suara membantah penahanan tidak sah itu.
Dalam pada itu, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) memberi jaminan bahawa 23 warga Malaysia yang ditahan akan segera dibawa pulang dengan keselamatan terjamin. Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim selepas menyerahkan memorandum bantahan berhubung penahanan aktivis GSF kepada pihak Kedutaan AS.
Kegusaran mengenai nasib peserta GSF bukan sahaja dirasai keluarga, sahabat dan rakyat Malaysia, malah turut disuarakan oleh pimpinan politik.
Baca juga:
- Premis di Kulai ditutup selepas Jalur Gemilang, bendera Johor dipasang terbalik
- Caprice diperintah mohon maaf, bayar RM220,000 kepada Ebit Lew
- Polis Pahang nafi dakwaan kartel dadah besar beroperasi di Genting Highlands
Menerusi satu hantaran video yang tular, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, menggesa pembebasan 23 rakyat Malaysia dalam satu forum World Social Security Forum yang dihadiri lebih 130 pemimpin negara.
Dalam video tersebut, Steven Sim turut menyebut satu persatu nama 23 rakyat Malaysia yang ditahan.
“Dunia mesti bersatu dalam menghentikan kekejaman. Bebaskan Flotila!
“Hati saya mendorong untuk bersuara tentang mereka yang tidak selamat. Bukan kerana kemalangan, tetapi kerana mereka ditahan. Kebebasan mereka dinafikan dan maruah mereka dipijak. Seramai 23 orang telah ditahan semasa misi kemanusiaan,” katanya.
Ucapan beliau kemudiannya disambut tetamu dengan tepukan gemuruh.
Di ruangan komen, ramai yang tersentuh apabila Steven Sim menyebut satu persatu nama peserta Malaysia yang ditahan pihak Zionis.








